23 Ogos 2013

Kumpulan Pertama Pelajar Malaysia di Mesir Selamat Tiba di Tanah Air

16 Syawal 1434 H. [MOD] -
Rakyat Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir (dari kiri) Ellyeen Nur Atiqah Mohd Salleh, Said Mubarak Said Ahmad, Balqis Mohd Sharif, Nurul Adha Saabani, Azka Rafiuddin Ramli dan Muhammad Yusuf Muhammad Razif mengaminkan doa selamat sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari dari Kaherah, Mesir. Mereka yang menaiki penerbangan komersil merupakan kumpulan pertama yang tiba dalam Ops Piramid 2 berikutan pergolakan di Mesir. Menyambut kepulangan mereka ialah Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan (dua, kiri). -Foto BERNAMA
SEPANG: Kumpulan pertama pelajar Malaysia di Mesir selamat tiba di tanah air.

Enam pelajar termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun diterbangkan pulang dengan menaiki pesawat Egypt Air daripada Mesir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.36 petang Khamis.
Kumpulan berkenaan merupakan sebahagian daripada 3,300 pelajar yang dibawa pulang melalui Ops Piramid II selepas situasi di Mesir bertambah buruk dan dilihat mengancam keselamatan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Satu lagi kumpulan, yang terdiri daripada lapan pelajar dijangka tiba pada pukul 9.45 malam ini.
Kira-kira 400 pelajar dijangka akan pulang melalui tiga penerbangan esok.
"Operasi pemindahan akan diteruskan hingga 27 Ogos ini," kata Timbalan Menteri Pendidikan,, P. Kamalanathan. Beliau berkata delegasi kumpulan daripada pihak kementerian akan terbang ke Mesir untuk berbincang dengan pihak berkuasa di sana isu berkaitan dengan pendidikan pelajar Malaysia di negara tersebut.
Selasa lepas, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata keselamatan pelajar Malaysia di Mesir menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dan urusan membawa mereka pulang tidak boleh dilengahkan kerana kemungkinan keadaan menjadi lebih serius.
Mengulas lanjut Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata beliau berharap misi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir akan selesai selewat-lewatnya akhir bulan ini.
"Setelah mendengar pengalaman dan cerita daripada mereka (enam orang rakyat Malaysia ini) sangat menyedihkan dan menyayat hati," katanya.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan menerusi Ketua Setiausaha Kedua Datuk Seri Dr Zaini Ujang dijadual akan mengetuai delegasi ke Mesir pada Sabtu ini untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian pengajian tinggi negara itu membabitkan urusan pembelajaran semasa pelajar Malaysia.
Nurul Adha berkata beliau menetap di kawasan perumahan yang selamat di Mesir dan memilih pulang ke tanah air selepas mendapat nasihat kerajaan Malaysia. "Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah apabila ditahan tentera Mesir dan diperiksa secara menyeluruh kerana mereka mencari anggota pemberontak ketika itu," katanya.
Beliau berkata ada juga rakannya yang tidak mahu pulang ke tanah air kerana bimbang mereka akan ketinggalan pelajaran dan rugi masa untuk ulang kaji pelajaran.
Azka Raffudin, yang menetap di Zagazig berhampiran bandar Kaherah, berkata beliau tidak berani keluar rumah kerana perintah berkurung oleh pihak berkuasa Mesir. "Bagaimanapun, pengalaman mengerikan apabila saya berada dalam sebuah bas awam pada jarak sekitar 100 meter melihat dengan mata sendiri seorang rakyat Mesir ditembak di kepala dan rebah. Mangsa dibantu rakannya tetapi saya tidak tahu adakah mangsa selamat akibat tembakan itu," katanya.
Keadaan di sana sangat kelam-kabut dan sukar untuk mencari sebuah kawasan yang benar-benar selamat kerana pihak berkuasa Mesir akan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap semua orang untuk mencari kumpulan pemberontak, kata Azka.
mStar/-

Tiada ulasan: