16 Syawal 1434 H. [MOD] -
TAWAU: Polis Tawau menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selepas menemui 10 anak panah 'flying feather' (anak panah lastik), dua alat pelepas anak panah dan sebilah pisau dipercayai milik remaja itu di Kampung Titingan (Kampung Ice Box) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata remaja yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan pukul 6.45 pagi selepas dilihat berkelakuan mencurigakan.
"Apabila anggota polis ingin memeriksanya, remaja itu cuba melarikan diri. Polis menjumpai satu kantung (beg kecil) hitam mengandungi empat anak panah flying feather di dalam poket kiri seluarnya dan satu alat pelepas anak panah," katanya kepada pemberita di sini.
Awang Besar berkata pemeriksaan lanjut ke atas remaja itu membawa kepada penemuan enam lagi unit flying feather, satu unit pelancar anak panah dan sebilah pisau kira-kira dua meter dari tempat remaja itu ditahan.
Katanya remaja berkenaan dan semua senjata yang dirampas itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan