23 Ogos 2013

Ribuan penduduk Palestin terkandas


16 Syawal 1434 H. [MOD] -

GENTING GAZA 22 Ogos - Beribu-ribu penduduk Palestin terkandas untuk memasuki atau meninggalkan Genting Gaza ekoran tindakan kerajaan Mesir menutup satu-satunya pintu merentasi sempadan di Rafah.

Jurucakap pergerakan Hamas, Ihab al-Ghusen berkata, mereka tidak mempunyai maklumat bila pintu 
sempadan Rafah akan dibuka dan rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkuasa Mesir.

"Penutupan pintu sempadan itu menyebabkan berlakunya krisis apabila beribu-ribu penduduk Palestin kini terkandas di dalam dan di luar Gaza," katanya

Wael Salem, 24, seorang pelajar kejuruteraan di Sweden adalah antara beratus-ratus penduduk Palestin yang pulang ke wilayah ini sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, dan kini tidak dapat pulang ke Sweden.

Sejak tentera Mesir melancarkan rampasan kuasa menggulingkan Presiden, Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu, negara itu telah mengurangkan waktu kerja di Rafah kepada lima jam sehari.

Operasi di terminal juga dihentikan apabila berlaku serangan bersenjata yang disasarkan terhadap pasukan keselamatan dan pos pemeriksaan Mesir di Semenanjung Sinai.

Pihak berkuasa Hamas berkata, pintu sempadan di Rafah untuk semua tujuan telah ditutup.

Sebelum bulan Julai, purata 1,200 pengunjung menggunakan laluan Rafah untuk meninggalkan Gaza dalam tempoh sehari, tetapi angka itu menurun kepada 150 orang selepas Mursi digulingkan.

Pada Sabtu lalu, kerajaan Mesir secara mengejut membuka sempadan itu bagi membolehkan mereka yang terkandas selama beberapa hari melintasinya, tetapi hanya sebuah bas dibenarkan meninggalkan Gaza melalui Rafah.

Pada hari Isnin pula, pihak berkuasa Mesir mengumumkan penutupan sempadan Rafah sehinggalah notis baharu dikeluarkan ekoran insiden pembunuhan 25 anggota polis negara itu. - AGENSI



Tiada ulasan: