Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas lehernya dikelar oleh bapa saudara menggunakan pisau pemotong sayur, dalam kejadian di hadapan sebuah kuil di Taman Sri Reko, Kajang semalam.
    
Ketua Polis Daerah kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, K. Yogiswari maut di tempat kejadian, manakala bapa saudaranya pula ditemui parah dengan kesan kelaran di leher, dipercayai cuba membunuh diri.
   
"Siasatan awal polis mendapati semasa kejadian suspek telah menarik keluar mangsa yang sedang menolong ibu saudaranya mencuci pinggan di rumah sebelum suspek bertindak mengelar mangsa di hadapan kuil berhampiran rumah mereka.
    
"Tindakan itu pada mulanya cuba dihalang anak suspek namun gagal dan sejurus kejadian suspek terus bertindak mengelar lehernya sendiri di dalam sebuah bilik di kuil itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Ab Rashid berkata suspek yang berusia 59 tahun itu dihantar ke Hospital Serdang untuk dirawat dan polis akan menahannya untuk membantu siasatan sebaik sahaja dia pulih daripada kecederaan. 
    
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.


- Bernama