16 August 2013

Munajat 100K bertukar ke Padang Merbok

9 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Himpunan Munajat 100K esok bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman kudeta Mesir terhadap rakyatnya bertukar tempat ke Padang Merbok.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pertukaran tempat itu berlaku selepas pihaknya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan polis Kuala Lumpur pagi tadi.

Himpunan anjuran DPPM bersama parti-parti politik serta badan bukan kerajan (NGO) ini pada asalnya dicadangkan diadakan di Dataran Merdeka.

"Perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pihak polis Kuala Lumpur tadi bersetuju himpunan esok diadakan di Padang Merbok dan akan mendapat kerjasama penuh daripada polis dan DBKL," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, satu lagi perbincangan akan diadakan dengan pihak polis Dang Wangi petang ini bagi membincangkan pergerakan peserta himpunan esok.

"Kami akan berbincang dengan polis Dang Wangi bagi kelancaran perjalanan program esok," katanya lagi.

Himpunan itu akan diadakan bermula jam 4 petang hingga 9 malam.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beberapa lagi pemimpin dijangka memimpin munajat ini.

Sehubungan itu, penganjur mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk sama hadir memohon doa kepada Allah SWT agar menyelamatkan rakyat Mesir dari tindakan zalim pemerintah pimpinan tentera yang telah merampas kuasa.

Harakahdaily/-

1 comment:

Anonymous said...

Jemput Khairy Jamaludin sekali utk ucapan.