17 Ogos 2013

Gempa seluruh New Zealand

10 Syawal 1434 H. [MOD] -

Gempa  seluruh   New Zealand
Sebuah kenderaan dipandu di sebatang jalan yang retak selepas gempa bumi melanda bahagian tengah New Zealand semalam. - Foto Reuters

Wellington: Gempa bumi dengan kekuatan 6.5 menggegarkan bahagian tengah New Zealand semalam, merosakkan rumah, jalan raya dan menyebabkan pekerja pejabat bertempiaran lari menyelamatkan diri. 
Kejadian berlaku di bandar Seddon, Pulau Selatan kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan, diikuti sekurang-kurangnya tujuh gegaran susulan. 


Kesan gempa dilaporkan dirasai hampir di seluruh negara. Gegaran paling kuat berlaku di Malborough manakala keadaan lalu lintas di Wellington terjejas teruk. 


Tiga minggu lalu, gempa bumi dengan kekuatan serupa, melanda kawasan sama menyebabkan empangan pecah, memutuskan bekalan elektrik dan merosakkan tingkap bangunan. 

Tiada kematian atau kecederaan teruk dilaporkan sama ada ketika gempa atau akibat gegaran susulan dengan kekuatan 5 dan 6, tiga jam selepas gempa pertama. 



Jurucakap polis, Barbara Dunn berkata beberapa buah rumah berhampiran pusat gempa rosak teruk dengan bumbung dan cerobong asap runtuh. 

“Sebuah jambatan musnah di sebatang lebuh raya utama dekat Seddon. Kami juga menerima laporan runtuhan batu di atas jalan menyebabkan sebahagian lebuh raya terpaksa ditutup,” katanya. 
Beberapa buah bangunan di Wellington terpaksa ditinggalkan selepas almari tumbang dan pelbagai barang bertaburan di atas lantai. 

Polis berkata sekumpulan penduduk berjaya dikelaurkan dari sebuah lif di Wellington yang tidak berfungsi. Gempa juga menyebabkan pasaran saham terpaksa ditutup lebih sejam. 

Tiada kerosakan besar 

Datuk Bandar Wellington, Celia Wade Brown berkata tiada kerosakan besar membabitkan infrastruktur atau bangunan pejabat, manakala jalan raya sesak apabila penduduk meninggalkan bandar itu. 

Agensi Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat, menyatakan gempa bumi awal berpusat 94 kilometer ke barat Wellington dengan kedalaman 10 kilometer. 

Pakar gempa bumi New Zealand, Caroline Little, berkata siri gempa bumi yang berlaku hampir berterusan sejak Julai disifatkan luar biasa. 

“Biasanya gempa bumi kuat berlaku sebelum diikuti gegaran susulan dengan magnitud lebih rendah,” katanya. 

Little berkata gempa Julai lalu berlaku di kawasan yang belum dipetakan sebelum ini, tetapi terlalu awal untuk menentukan sama ada gempa bumi semalam berlaku di jaluran sama. 

New Zealand terletak di kawasan dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik dengan aktiviti pergerakan bumi yang ketara. Gempa bumi kuat di Christchurch pada 2011, mengorbankan 185 orang dan memusnahkan banyak bangunan. 
AP

Tiada ulasan: