17 Ogos 2013

Mesir: Umat Islam Perak suarakan bantahan

10 Syawal 1434 H. [MOD] -
harakahdaily.net
IPOH: Ratusan umat Islam berhimpun selepas solat Jumaat di Masjid Negeri Ipoh bagi mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman terhadap kekejaman kerajaan kudeta Mesir yang bertindak kejam membunuh rakyat di negara itu ketika ini.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS Perak itu dihadiri oleh disertai oleh Ketuanya, Ustaz Zawawi Abu Hassan dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss serta pimpinan pemuda PAS negeri.

Turut bersama ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Norazli Musa dan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Angkatan Belia Insan Malaysia (Abim).

Pelbagai sepanduk dinaikkan dan laungan bergema tanda solidariti terhadap nasib umat Islam yang sedang dizalimi di bumi anbia itu.

Ustaz Zawawi dalam ucapannya berkata tindakan yang dilakukan oleh tentera Mesir adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan harus dihentikan segera.

Katanya, pihak keselamatan Mesir sewajarnya mengutamakan nyawa dan keamanan orang awam daripada menjadi mangsa korban yang semakin meningkat.

"Umat Islam seluruh dunia perlu bangkit menyatakan bantahan keras terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Mesir yang tidak berdosa.

"Rakyat tanpa mengira parti seharusnya bangkit menyatakan ketidakpuashatian terhadap tindakan kejam tentera Mesir," katanya dan disambut dengan laungan Allahu Akbar.

Dalam pada itu, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss menegaskan, PAS mendesak Kerajaan Malaysia memberikan nota bantahan rasmi kepada pemerintah kudeta Mesir yang semakin bertindak kejam.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM itu menjelaskan, kenyataan di media sahaja tidak cukup dan seharusnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak harus melakukan tindakan yang lebih tegas.

"Negara bukan Islam iaitu Filipina dan Ecuador mengarahkan duta mereka di Mesir pulang tanda mengutuk kekejaman yang berlaku, seharusnya Malaysia sebuah Negara majoriti Islam harus berbuat demikian namun apa yang kita lihat kerajaan tidak bertegas dalam isu ini.

"Kita tidak boleh berdiam diri, kita perlu terus desak, desak dan terus desak agar kekejaman serta kezaliman ke atas orang awam Mesir ini dapat dihentikan segera seterusnya mengangkat kembali kedaulatan undang-undang dan demokrasi di negara itu," tegasnya.

Solat hajat dan bacaan qunut nazilah diadakan selepas selesai sahaja solat Jumaat dan disertai oleh ratusan orang ramai memenuhi ruang masjid.

Tiada ulasan: