17 August 2013

Mesir: Pemuda PAS tubuh JK khas salur maklumat


10 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menubuhkan jawatankuasa khas di bawah lajnah penerangannya bagi memberikan maklumat yang tepat berhubung kekejaman Kudeta Mesir terhadap rakyatnya.


Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, lajnah penerangan akan berperanan sebaik mungkin sebagai medium untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat mengenai krisis di Mesir yang mengorbankan ribuan nyawa termasuk bayi dan orang tua.

"Jawatankuasa ini akan menyusun pelan tindakan dan perancangan untuk memastikan maklumat mengenai kekejaman tentera Mesir sampai kepada rakyat.

"Di peringkat antarabangsa, kami serah kepada lajnaj antarabangsa.

"DPPM menyifatkan tindakan pembantaian tentera Mesir terhadap rakyat sebagai melampaui batas-batas manusia normal," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAs, Jalan Raja Laut hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh itu juga, DPPM juga mendesak kerajaan bersikap tegas dalam isu ini dengan memanggil pulang duta Malaysia ke Mesir.

"DPPM juga mendesak sidang parlimen tergempar diadakan bagi membolehkan semua pihak berbincang mengenai tragedi berdarah di Mesir," katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengajak semua rakyat Malaysia menyertai Himpunan Munajat 100K di Padang Merbok petang ini bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Mesir.

"DPPM bersama NGO mengadakan Himpunan Solidariti Rakyat Mesir. Bermula semalam dengan solat hajat da demonstrasi di masjid di seluruh negara. Hari ini pula kita akan bermunajat di Padang Merbok bermula ja 4 petang hingga ISyak," katanya.

No comments: