20 Ogos 2013

PAS Desak Kerajaan Tutup Kedutaan, Hantar Balik Duta Mesir

13 Syawal 1434 H. [MOD] -

PETALING JAYA: PAS pada Selasa mendesak kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Mesir serta menghantar balik Duta mereka sebagai tanda bantahan tindakan tentera Mesir menggulingkan kerajaan yang sah pimpinan bekas Presidennya, Dr Muhammad Morsi serta melakukan pembunuhan kejam terhadap penyokongnya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata kerajaan juga boleh menjadi orang tengah dengan memanggil sidang tergempar Persidangan Negara Islam (OIC) untuk mengutuk tindakan kejam tentera Mesir bagi menyatakan pendirian negara-negara Islam.
"Kita patut malu dengan negara seperti Turki, Equador dan Veneuzela yang menutup kedutaan Mesir dan menghantar duta mereka balik.
"Malaysia harus menyatakan pendirian kita dengan jelas terhadap tindakan kejam tentera Mesir jangan jadi seperti sekutu mereka Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bersengkongkol dengan kekejaman yang dilakukan tentera Mesir," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat mendesak kerajaan memanggil Sidang Parlimen Khas untuk mengecam tindakan kejam tentera Mesir.
Surat berkenaan telah diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh di Pejabat Perdana Menteri di sini.
Salahuddin berkata PAS juga akan mengadakan satu meja bulat pada 1 September depan yang akan dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Persidangan itu nanti akan dihadiri beberapa wakil termasuk diplomat, NGO luar negara termasuk menjemput wakil kerajaan dan Umno bagi membentuk satu deklarasi khas mengenai isu Mesir.
"Kami juga berharap sidang khas bukan sahaja Parlimen tetapi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan harap negeri Pakatan Rakyat akan memulakannya," katanya.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan membincangkan isu Mesir dalam mesyuarat Kabinet yang akan diadakan pada Rabu.
"PAS memohon supaya mesyuarat mingguan Kabinet yang akan diadakan pada hari esok (Rabu) dapat membuat ketetapan rasmi kerajaan Malaysia memanggil suatu sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkembangan terkini Mesir dan mengutuk tindakan kejam regim haram tentera yang melakukan pembunuhan ke atas rakyat Mesir yang tidak berdosa.
"PAS dengan ini memberi komitmen untuk menyokong penuh sidang yang dipanggil beserta dengan sebarang resolusi mengutuk kezaliman tentera Mesir serta menyokong demokrasi dikembalikan dengan kerajaan awam serta Morsi dikembalikan kuasanya," katanya.
mStar/-

Tiada ulasan: