20 Ogos 2013

Umno pun pernah cuba haramkan PAS - Idris

13 Syawal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM:Cubaan kerajaan sementara Mesir yang merampas kuasa untuk mengharamkan parti Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihanraya di negara itu sebelum ini pernah dilakukan oleh Umno terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di negara ini.

Pengarah Jabatan Tarbiah dan Pengkaderan PAS, Ustaz Idris Ahmad, berkata Umno ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad pernah sedaya upaya untuk mengharamkan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan termasuk PAS.

“Namun usaha buruk Umno tersebut gagal disebabkan Majlis Raja-Raja yang bersidang menolak usaha Umno dan Dr Mahathir,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Menurut Idris, tragedi rusuhan yang sedang berlaku di Mesir tidak mungkin berlaku di Malaysia sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara ini.

“Senario penggulingan Mantan Presiden Mesir Dr Morsi oleh tentera negara itu agak sukar berlaku di negara ini kerana Malaysia mempunyai sistem pemerintahan yang agak unik.

“Sistem demokrasi berpelembagaan di negara ini dengan Raja merupakan sebahagian daripada sistem demokrasi akan menghalang perkara sedemikian.

“Dari sudut negara ini penggulingan tentera seperti itu agak rakus, cara kekerasan yang berlaku seperti di Mesir mungkin tidak akan berlaku,” kata beliau ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan jikalau PAS berjaya mentadbir Malaysia apakah senario di Mesir akan berlaku di negara ini.

Kata beliau, tindakan kekerasan tentera Mesir seperti yang berlaku itu tidak sesuai dalam konteks negara ini dalam pelbagai segi.

Tambah beliau apa yang boleh berlaku adalah seperti pertukaran kerajaan di Perak melalui ‘lompat parti’.

Dalam pada itu Idris berharap kerajaan Malaysia membuat pendirian berhubung tragedi yang berlaku di Mesir.

“Kita juga menyeru semua pertubuhan Islam untuk mempunyai jatidiri yang kuat dan istiqamah dan kita yakin akan menang akhirnya,” kata beliau.

Tiada ulasan: