18 Ogos 2013

Pas kekal kerusi Parlimen Bachok, DUN Jelawat

11 Syawal 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU: PAS mengekalkan kerusi Parlimen Bachok dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat selepas Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini menolak petisyen yang difailkan Barisan Nasional (BN).

Hakim Pilihan Raya, Datuk Zamani Abdul Rahim yang membuat keputusan itu, berkata ini kerana pihak pempetisyen telah gagal mematuhi beberapa peraturan yang termaktub dalam Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
Ketika membacakan keputusan penghakimannya kira-kira selama sejam itu, Zamani berkata antara kegagalan itu adalah pihak pempetisyen telah gagal mematuhi kaedah pelantikan peguam dan kecacatan dalam penyerahan petisyen kepada responden.
Beliau memutuskan pempetisyen perlu membayar kos RM30,000 kepada responden pertama dan RM15,000 masing-masing kepada responden kedua dan responden ketiga dalam kedua-dua petisyen itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, calon BN bagi Parlimen Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas kepada calon PAS, Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi manakala bagi kerusi DUN Jelawat, calon BN Datuk Ilias Husain kalah kepada calon PAS Abdul Aziz Kadir dengan majoriti 102 undi.
Petisyen bagi Parlimen Bachok difailkan Dr Awang Adek manakala DUN Jelawat oleh Ilias.
BN diwakili barisan peguam yang diketuai Mohd Ilias Mohd Noor manakala PAS oleh peguam Hisham Fauzi.
Responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula diwakili barisan peguam yang diketuai Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad. - BERNAMA

Tiada ulasan: