18 Ogos 2013

Kekacauan merebak ke lapan bandar

11 Syawal 1434 H. [MOD] -


Penyokong Morsi berkubu di dalam Masjid al-Fath. - Foto REUTERS

KAHERAH: Tentera Mesir semalam mengepung Masjid Al-Fath yang dipenuhi penyokong Presiden Mohamed Morsi, ketika negara itu terus berada di ambang perang saudara selepas kekacauan terus merebak.

Kepungan di masjid berkenaan dilakukan selepas pertempuran menyebabkan 173 terbunuh di seluruh negara dalam pertempuran terbaru manakala lebih 1,004 penyokong Morsi ditangkap.
Dalam pertempuran Rabu lalu, 638 terbunuh menjadikan angka korban 801 manakala 1,330 lagi cedera.
Antara mangsa terbaru termasuk anak lelaki pemimpin kanan Ikhwan, Mohamed Badie iaitu Ammar, 38, yang terbunuh kena tembakan ketika memprotes di Dataran Ramses.
Kekacauan juga merebak ke kawasan lain termasuk di Suez, Sohaq, Sinai, Iskandariah, Beni Sueif, Fayoum, Minya di selatan Kaherah dan bandar pelancongan Hurghada di Laut Merah.
Tindakan keras pasukan keselamatan itu menyebabkan rakyat Mesir berpecah-belah kepada satu tahap yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara itu.
Seorang penunjuk perasaan berkata, hampir 1,000 orang terperangkap di dalam masjid yang sebelum ini menempatkan 20 mayat penunjuk perasaan mangsa pertempuran kelmarin.
Rakaman siaran televisyen di dalam masjid menunjukkan askar cuba memujuk penunjuk perasaan supaya menyerah diri.
Seorang penunjuk perasaan dalam masjid yang dihubungi melalui telefon berkata, pihaknya menuntut supaya tidak ditahan dan dilindungi daripada diserang orang awam yang berkumpul di luar masjid.
“Samseng cuba menyerbu ke dalam masjid tetapi sekumpulan lelaki menghalang pintu masuk,” kata seorang lagi penunjuk perasaan tanpa mengesahkan siapa yang dimaksudkan sebagai samseng.
Sumber keselamatan yang dipetik agensi berita rasmi MENA, berkata, tembakan senjata yang ditujukan ke arah polis dan pasukan keselamatan kedengaran dari dalam masjid.
Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) pimpinan Morsi merayu supaya ‘pembunuhan beramai-ramai’ dielakkan selepas ratusan terbunuh di seluruh negara Rabu lalu, apabila polis menyerbu dua lokasi perhimpunan utama penyokong Morsi yang digulingkan 3 Julai lalu.
Ketegangan terbaru bermula selepas penyokong Morsi keluar dari masjid dan menunjuk perasaan yang digelar ‘Hari Tunjuk Marah’.
Keganasan tercetus serta-merta apabila polis mula melepaskan gas pemedih mata dan tembakan mula kedengaran.
Sementara itu pertubuhan hak asasi Amesty International menggesa siasatan rapi dijalankan sambil menegaskan tindakan pihak berkuasa ke atas penunjuk perasaan semakin membimbangkan. AGENSI

Tiada ulasan: