18 Ogos 2013

Mesir: Situasi lebih buruk jika haram Ikhwan

11 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-

KUALA LUMPUR: Tindakan rejim kudeta Mesir pimpinan tentera yang bercadang untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin tidak akan menyelesaikan konflik berdarah di negara itu.


Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang dihubungi berkata, keputusan tersebut sebaliknya akan terus memburukkan lagi keadaan di Mesir apabila pihak yang menyokong Presiden dipilih rakyat, Dr Mohamed Morsi bertindak menyatakan bantahan.

"Tindakan untuk mengharamkan Ikhwan telah saya jangkakan sebelum ini dan ini sebagai satu usaha mereka untuk menghapuskan terus pergerakan tersebut.

"Tetapi kita perlu melihat dengan tindakan tersebut ia tidak akan menyelesaikan apa yang berlaku di Mesir.

"Saya merasakan kesan akan lebih teruk apabila wujud ketidakpuasan hati dari penyokong Ikhwan apabila kerajaan tentera Mesir mengambil tindakan tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.

Salahuddin yang menegaskan pihak yang terbabit di dalam konflik Mesir itu perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan lebih ramai yang terkorban serta meminta negara-negara lain campurtangan dalam usaha mencari jalan pendamaian.

Beliau memberitahu, jika pengharaman Ikhwan dilakukan ia akan mengembalikan Mesir kepada zaman lampau.

Tiada ulasan: