08 Ogos 2013

Sindiket 'Black Money' Tumpas, Dua Warga Asing Ditahan


1 Syawal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Satu sindiket 'black money' yang aktif di negara ini sejak tahun lepas tumpas berikutan penahanan dua lelaki warga asing di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata suspek yang berusia 32 dan 46 tahun itu masing-masing berasal dari Guinea dan Britain.

"Mereka telah ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di ibu negara kira-kira 2 petang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini Khamis.
Beliau berkata serbuan itu dilakukan selepas seorang peniaga dari Indonesia, yang berurusan dengan sindiket terbabit menyedari ditipu sebanyak US$13,000(RM42,250) dan melaporkannya kepada polis.
Mohmad berkata pengadu itu dalam laporannya berkata beliau telah berkenalan dengan seorang daripada suspek melalui laman sosial Facebook pada September tahun lepas dan kemudiannya berjumpa pada Jun lepas, di Singapura.
"Semasa perjumpaan itu pengadu telah ditawarkan dengan satu projek 'mencuci wang kertas US Dolar yang dikatakan boleh mendatangkan keuntungan tiga kali ganda dan pada Julai lepas pengadu telah menyerahkan US$13,000 (RM42,250) kepada suspek. "Bagaimanapun suspek sekali lagi meminta wang sebanyak US$5,000 daripada pengadu dengan alasan untuk membeli bahan-bahan kimia, namun pengadu tidak memberi wang tersebut dan telah membuat laporan polis," katanya.
Mengenai serbuan itu, Mohmad berkata pihaknya turut merampas wang kertas palsu bernilai US$100 sebanyak 4,896 keping dan kertas hitam yang digunakan untuk penipuan itu.
Siasatan awal mendapati beberapa keping wang Amerika itu telah dihitamkan dengan bahan tertentu dan selepas dibersihkan dengan bahan kimia itu, keaslian wang itu seolah-olah terserlah.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama 21 hari sehingga 21 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Tiada ulasan: