08 Ogos 2013

Hati-hati individu minta bawakan beg

1 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pada ketika ini, warga kota berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri dan dalam beberapa hari ini sibuk berkunjung ke sana ke mari.

Namun, dalam bergembira, mereka diingatkan agar tidak memandang remeh soal keselamatan dan mudah menjadi mangsa sindiket tertentu yang sentiasa mencari peluang dalam kesibukan suasana.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak (gambar) berkata, antara yang sering dikesan terjadi ialah permintaan individu tertentu untuk membawakan barang terlarang seperti dadah, senjata api dan mercun di dalam pengangkutan awam seperti bas persiaran, kereta api dan kapal terbang.


"Sudah banyak kes begini berlaku pada tahun-tahun sebelum ini terutama ketika musim perayaan. Jadi kami ingin nasihatkan mereka agar tidak mudah percaya dengan individu yang berdolak-dalik, yang meminta supaya membawakan beg kemungkinan berisi barangan tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ini terutama ada pengangkutan awam yang datang dari arah sempadan kemungkinan membawa individu yang menyeludup barangan dari negara jiran untuk dibawa masuk ke negara ini.

Wan Abdullah berkata, orang ramai tidak seharusnya mudah percaya dengan fizikal dan penampilan luaran seseorang contohnya wanita berpakaian purdah, berperwatakan menarik dan baik hati yang meminta mereka membawakan beg atas alasan uzur dan sebagainya.

"Ada juga yang kami kesan kes suspek meminta mangsa memegang beg pakaiannya sebentar sebelum memberi alasan untuk mengambil anaknya di luar bas dan lenyap meninggalkan beg tersebut bersama-sama mangsa.

"Mangsa pula yang tidak mengesyaki apa-apa terpaksa 'menyimpan' beg tersebut dan malang apabila pemeriksaan mengejut dijalankan, mangsa disyaki pemilik beg itu," katanya.

Wan Abdullah berkata, ada juga kes suspek memancing kanak-kanak bawah umur atau remaja dengan habuan wang untuk membawakan 'barangan' haram mereka kerana suspek tahu sekiranya kanak-kanak itu ditangkap, tiada hukuman gantung menanti mereka.

Beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan individu yang baru dikenali yang meminta mereka membantu tambahan pula dengan rupa fizikal yang tidak menggambarkan mereka mempunya agenda tertentu.

"Ini termasuk wanita tua yang minta mangsa memegang beg mereka untuk sementara waktu atau minta bawakan beg kerana tidak larat, dan sebagainya," katanya. — BERNAMA

Tiada ulasan: