08 August 2013

Trafik meningkat di Lebuhraya Utara-Selatan

1 Syawal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan meningkat setakat 4.30 petang ini namun masih bergerak lancar kecuali beberapa laluan ke arah utara. 

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd ketika dihubungi Bernama melaporkan trafik mula sesak dari Slim River ke Sungkai dan dari Bukit Tambun ke Juru berikutan kenderaan mula memenuhi lebuh raya. 


Beliau berkata di arah selatan, trafik juga dilaporkan bergerak perlahan dari Nilai menuju ke Seremban berikutan berlaku kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan lori di Kilometer 307 arah utara menghala ke Sungai Besi. 


Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik mula sesak dari Plaza Tol Gombak ke Karak berikutan berlaku insiden kebakaran sebuah kereta kira-kira 3 petang tadi. 

Beliau berkata secara keseluruhan, trafik pada waktu petang masih terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. 

- BERNAMA

No comments: