Harakahdaily, | 09 Sep 2013 |
KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam memulakan tugasnya di Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Kota Darul Naim.
Beliau selaku Penasihat dan Murabbi IPTG dilihat memasuki pejabat di aras bawah blok Dewan Undangan Negeri itu kira-kira jam 9 pagi disambut Pengarah IPTG, Dr Che Samsudin Mohamed Noor dan kakitangan lain.
Pengawal Peribadinya, Zakaria Deraman ketika dihubungi Harakahdaily berkata, Tok Guru berada di situ hampir lima jam sebelum pulang ke rumah selepas Zohor.
"Dia lakukan rutin sepertia biasa, sama macam sewaktu di pejabat MB dulu la. Dia solat Dhua, kemudian baca surat khabar dan kemudian meneliti beberapa dokumen dan nota.
"Lepas itu ada sedikit perbincangan dengan pengarah IPTG, dan lepas Zohor kita bawa dia pulang ke rumah untuk beliau berehat" katanya.
Menurutnya, keadaan kesihatan Tok Guru semakin baik dan boleh dilihat dengan kehadirannya dalam beberapa program sebelum ini.
Ianya termasuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu pagi Jumaat lalu, dan memenuhi jemputan mentahnik anak kecil di majlis aqiqah di rumah bekas Setiausaha Sulit beliau pada hari sama.
"Alhamdulillah, kesihatannya semakin baik dan minggu ini mungkin banyak lagi program yang beliau akan hadiri," katanya.
Semalam adalah kali kedua Tok Guru memasuki pejabatnya. Kali pertama beliau melawat pejabat ini adalah pada 4 september lalu.
IPTG adalah projek yang dicetuskan oleh Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob selepas menggantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai ketua kerajaan negeri.
Ianya dipengerusikan Menteri Besar sendiri dan berperanan sebagai sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.
Selain itu, ianya juga berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan