09 September 2013

50 peratus hidap darah tinggi 2025

3 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Subang: Lebih 50 peratus rakyat Malaysia berumur 40 tahun ke atas dijangka menghidap penyakit darah tinggi menjelang 2025 berikutan amalan gaya hidup dan budaya pemakanan tidak sihat.

Pengerusi Persatuan Hipertensi Malaysia, Datin Dr Chia Yook Chin, berkata berdasarkan kajian, hingga kini, negara mencatatkan seramai 4.8 juta penghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi.
“Daripada jumlah itu, dua pertiga daripada mereka tidak menyedari perkara itu sehingga mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor kerana penyakit ini tiada simptom. Malah, pada 2011, golongan berumur 40 tahun ke atas menyumbang 45 peratus dalam kes hipertensi berbanding 42.6 peratus pada 2006.
Jumlah terus meningkat
“Tidak mustahil jumlah itu akan terus meningkat sekiranya tahap kesedaran kesihatan penduduk masih rendah. Penyakit ini turut dikesan dalam kalangan golongan muda berumur 18 tahun ke atas, iaitu 33 peratus pada 2011 berbanding 32.6 peratus lima tahun sebelum itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam media ‘Peningkatan Kadar Hipertensi di Malaysia: Punca dan Kaedah Rawatan Terkini’ oleh lima persatuan kesihatan bersama Kumpulan Perubatan Sime Darby di sini, semalam. Ia bagi menerangkan kaedah rawatan hipertensi dikenali 'One Shot Renal Denervation System'.
Teknologi rawatan berkenaan mampu menyahaktif saraf simpatik (saraf membantu mempercepat denyut jantung, menyempitkan pembuluh darah dan meningkatkan tekanan darah), di sekeliling arteri ginjal dengan menggunakan tenaga frekuensi radio bagi mengurangkan tekanan darah tinggi.BH/-

No comments: