02 September 2013

Perlu kebebasan media dalam Dewan Negeri Perak

26 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,02 Sep 2013

KUALA LUMPUR: “Saya ingin menegur Datuk SK Devamani untuk bertindak adil kepada semua pihak terutamanya pihak media untuk menjamin ketelusan dan menegakkan demokrasi di Negeri Perak,” kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.


Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada permohonan maaf Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk SK Devamani kerana tidak membenarkan wartawan untuk mengambil gambar sewaktu persidangan Dewan Negeri Perak berlangsung. 


Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Devamani menyalahkan pihak pengawal yang ditugaskan di Dewan tersebut kerana kesilapan itu. 


Sehubungan itu, Sivakumar yang pernah menjadi Yang Dipertua Dewan sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Perak selepas Pilihan raya Umum 2008 lepas mengingatkan SK Devamani bahawa itu bukanlah perkara baru. 


Menurutnya, sejak pertukaran kerajaan Perak pada tahun 2009, banyak halangan diberikan oleh Barisan Nasional dan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada pihak wartawan.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu menambah, wartawan seharusnya bebas merakam setiap adengan yang berlaku dalam persidangan. 

Oleh yang demikian, ujar beliau mereka seharusnya ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukannya di galeri pemerhati. 


Sebelum 2009, katanya semua wartawan diberi tempat duduk di dalam Dewan Negeri untuk merakamkan persidangan. 

Sekarang, ujarnya mereka telah ditempatkan di galeri awam yang tidak sesuai untuk mengambil gambar dan perakaman semua percakapan dalam Dewan Negeri kerana gambar-gambar yang diambil dari galeri pemerhati tidak berkualiti kerana terdapat cermin yang agak gelap.


Selain daripada itu, katanya apabila sistem pembesar suara dipadamkan ketika berlaku perbahasan sengit atau kontroversi maka wartawan yang berada dalam galeri itu tidak dapat merakam apa-apa kerana bilik itu adalah kalis bunyi. 


“Perkara ini sering kali berlaku dalam Dewan Negeri  Perak menyebabkan wartawan tidak dapat mendengar perkara yang sebenar yang berlaku dalam dewan,” katanya lagi. 


Ini, ujar beliau menyusahkan pihak wartawan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.


“Oleh yang demikan, saya mencadangkan supaya pihak media seharusnya ditempatkan dalam Dewan Negeri dan bukannya di galeri pemerhati. 


“Ini adalah untuk menjamin kebebasan media. BN tidak sepatutnya takut kepada media yang melaporkan perkara yang sebenar kepada rakyat,”mkatanya. 


Tambahan pula, tambah Sivakumar media perdana dan media alternatif juga sepatutnya dibenarkan untuk membuat rakaman video.

Tiada ulasan: