11 Oktober 2013

Audit: Tindakan dengan surat amaran sahaja

6 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: Kerajaan tidak pernah berazam untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan penyelewengan terutama dalam jabatan kerajaan sehingga  berlaku ketirisan yang berulang setiap tahun.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, 95 peratus tindakan yang diambil jika mereka atau jabatan kerajaan terlibat dengan penyelewengan hanya dengan memberi surat teguran sahaja. 

Katanya, jika tiada tindakan tegas yang dikenakan kepada mereka maka sampai bila-bila pegawai atau mungkin ketua jabatan akan terus cuai.

"Jika berlaku kerap kali sudah pasti rakyat akan mencurigai sama ada semua yang terlibat iaitu daripada pegawai hingga ketua jabatan," katanya dalam wacana di Karangkraf,  `Laporan Audit: Tiris atau Terlepas pandang'.

Beliau menegaskan, ekoran laporan audit yang mencurigakan rakyat mahu pihak kerajaan mengambil tindakan tegas menghapuskan masalah ketirisan yang berlaku dalam jabatan kerajaan.

"Kita harap penguatkuasaan jalankan proses siasatan dengan lebih terperinci supaya pihak yang bersalah menjadi contoh kepada pihak lain," tegasnya. 

Menurut beliau, jika kerajaan berjaya mengambil tindakan keras dan tidak ada toleransi dalam soal ketirisan sudah pasti pihak Audit Negara akan menjalankan kerja dengan lebih mudah. 

Beliau menyelar jawapan Ketua Polis Negara mengatakan 44 laras senjata api yang hilang mungkin jatuh ke dalam laut dan tidak jatuh ke tangan penjenayah. 

Katanya, jika pihak penguatkuasa tidak mengambil tanggungjawab terhadap aset yang ada dalam badan berkenaan sudah pasti jabatan kerajaan lain akan melakukan kecuaian terhadap aset mereka. 

Laporan audit menyebut bahawa polis kehilangan 44 laras senjata api, 156 gari dan 29 kenderaan.

Beliau menegaskan, jika pihak Polis yang menegakkan keadilan tidak dapat mengawal jenayah yang berlaku dalam jabatan mereka, bagaimana mereka boleh mengawal jenayah di luar. 

Disiplin bermula daripada pihak penguatkuasaan dan ia perlu dilaksanakan di jabatan serta kementerian manakala menteri-menteri perlu mengambil tanggungjawab terhadap setiap yang berlaku dalam kementerian mereka.
Wacana disertai Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammed dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara ( PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamad.

Ubah prosedur elak ketirisan berulang 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamad berkata, ketirisan yang sama berulang setiap tahun disebabkan prosedur yang dilaksanakan oleh Jabatan kerajaan selama ini tidak pernah dibetulkan. 

Menurut beliau, jika pembelian secara pukal tidak diubah dengan satu kaedah baru yang dicadang kepada kerajaan walaupun harga termurah tetapi perlu ada semakan harga pasaran iaitu tidak boleh melebihi harga pasaran yang munasabah.

"Jangan benarkan harga yang dibeli itu dengan harga yang tidak munasabah. Kalau harga pasaran RM100 tapi benarkan pembelian dengan harga RM3000, ini sudah tidak munasabah," tegasnya. 

Beliau berharap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu bentangkan kepada kerajaan supaya mengubah prosedur tersebut dan jika ada perubahan sudah tentu ketirisan tidak akan berlaku berulang. 

Mengulas ketirisan yang setiap tahun berulang, katanya, ketua jabatan di setiap kementerian bertanggungjawab mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai atau kakitangan yang terlibat melakukan penyelewengan atau memaklumkan terus kepada penguatkuasa undang-undang. 

Sekiranya perkara itu tidak sengaja dilakukan atau kelalaian maka menjadi tangggungjawab Ketua Jabatan untuk menyiasat perkara tersebut. 

"Jika sebuah syarikat, Audit memaklumkan berlaku pemalsuan, kita siasat jika salah kita buang, lepas itu kita minta bayar balik. Ini duit syarikat. Jika ini tidak dapat, hantar mereka yang terlibat kepada polis dan masukkan dalam penjara," tegasnya. 

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan oleh Ketua Jabatan masing-masing dan bukan diserahkan kepada pihak SPRM.

"Masalahnya undang-undang negara kita, kelalaian itu bukan satu kesalahan jenayah, buat satu keputusan tidak betul juga bukan kesalahan jenayah," katanya. 

Beliau berkata, ini berbeza dengan negara maju jika kesalahan dilakukan dengan sengaja akibat kelalaian sehingga kehilangan wang berjuta ringgit maka mereka yang terlibat boleh dituduh atas kelalaiannya. 

"Pada hari ini kelalaian tidak boleh dituduh dan tertuduh pun tidak boleh dituduh," katanya.

harakahdaily.net

Tiada ulasan: