11 Oktober 2013

Tak bayar Tekun tak apa, gagal bayar PTPTN diburu


6 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Dakwaan kerajaan bahawa Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP) dan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah untuk memastikan kekayaan negara dikongsi bersama dilihat bercanggah dengan situasi yang berlaku.

Sebagai contoh, pengakuan Pengarah Eksekutif (CEO) Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Datuk Abdul Rahim Hassan bahawa Tekun ditubuhkan bagi membantu ahli Umno membuktikan kerajaan tidak adil dalam mengagihkan kekayaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program-program yang dirancang hanya sempurna di atas kertas namun gagal dilaksanakan di peringkat akar umbi.

"Memanglah projek-projek dibuat atas nama rakyat tapi apabila turun ke bawah  projek-projek ini memang diberi kepada kumpulan Umno yang berkepentingan dan kroni mereka," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Tuan Ibrahim juga mempersoal sikap berdiam diri kerajaan terhadap peminjam Tekun yang gagal membayar balik pinjaman.

Sikap ini katanya sangat berbeza dengan sikap kerajaan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kita minta menteri dedahkan senarai peminjam Tekun yang bermasalah sebab rakyat nak tengok berapa ramai peminjam Tekun tak bayar balik pinjaman.

"Kerajaan buru peminjam PTPTN kenapa tak buru peminjam Tekun? Adakah sebab peminjam Tekun ini sebahagian besar Umno? Bila Umno yang pinjam kerajaan tak bertindak kalau rakyat biasa yang pinjam kita nampak mereka diburu, dikejar, disenarai hitam tapi tidak kepada peminjam Tekun," katanya lagi.

Mengikut rekod, hampir RM1 bilion dana Tekun belum dibayar semula oleh peminjam.

Tekun telah memberi pinjaman kepada usahawan Melayu iaitu ahli Umno berjumlah RM2.42 bilion dan hanya mendapat bayaran balik berjumlah RM1.43 bilion.

Tuan Ibrahim juga menambah, Tekun menjadi alat Umno menjelang pilihan raya kecil untuk memancing undi orang Melayu.

"Tekun ini jadi alat Umno setiap kali pilihan raya. Bila pilihan raya kecil meraka akan turun bagi borang dan pinjaman lulus segera," katanya.
harakahdaily.net

Tiada ulasan: