11 Oktober 2013

Marah pemandu, pengawal peribadi didakwa tunjuk pistol

6 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Berang dengan tindakan seorang lelaki dan rakannya yang memandu laju di sebuah kawasan perumahan, seorang ahli perniagaan dan dua pengawal peribadinya didakwa menahan kereta itu lalu menendangnya sehingga kemik.

Dalam kejadian di Taman Mutiara Rini di Johor Bahru Rabu lepas, mereka didakwa turut mengarahkan kedua-dua lelaki itu keluar daripada kereta dan apabila enggan, seorang daripada pengawal peribadi itu didakwa mengangkat bajunya bagi menunjukkan sepucuk pistol yang tersisip di pinggang. 
 
Mangsa berusia 20-an yang takut dengan ancaman itu kemudiannya melarikan diri lalu membuat laporan polis pada 10.30 malam. 
    
Susulan laporan itu, sepasukan polis telah menahan ketiga-tiga suspek berkenaan dan merampas dua pucuk pistol jenis Glock, 22 butir peluru, dua sarung pistol, empat salinan borang lesen senjata api dan sebuah kereta Proton Wira berwarna biru.
    
"Perselisihan faham di antara mereka dipercayai berlaku apabila suspek berang dengan mangsa yang memandu kereta secara laju di kawasan taman perumahan," kata ketua polis daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad dalam satu sidang akhbar hari ini.
    
Menurut beliau, suspek berusia 30an itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Noor Hashim menasihati supaya mana-mana pihak yang dibekalkan senjata api untuk melakukan tugas kawalan keselamatan atau sebagai pengawal peribadi agar tidak menyalahguna senjatapi berkenaan.
    
"Senjatapi yang dibekalkan itu adalah untuk melindungi diri apabila terancam dan tidak boleh disalahgunakan," katanya sambil menambah adalah salah untuk menunjuk-nunjuk senjata kepada orang lain kerana ia boleh dianggap sebagai melakukan ugutan jenayah.
    
Dalam perkembangan lain, polis menahan tiga suspek yang menyamun dua lelaki di hadapan sebuah kilang di kawasan Lima Kedai, Gelang Patah, Rabu lepas.



Dalam kejadian lebih kurang 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan kayu dan topi keledar sebelum wang tunai dan telefon bimbit mereka disamun.
    
Bagaimanapun, mangsa berkenaan dapat menangkap seorang daripada suspek terbabit semasa cuba melarikan diri dengan rakan suspek yang lain.
    
Susulan tangkapan itu, sepasukan polis telah pergi ke kawasan ternakan lembu di Taman Setia Eco Garden serta Taman Nusajaya Mas dan menangkap dua lagi suspek terbabit.
    
Polis menjumpai sebuah telefon bimbit jenis Samsung milik mangsa, sebuah topi keledar yang digunakan untuk memukul mangsa dan sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian samun itu.
    
Suspek yang berumur antara 18 hingga 21 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam.
    
asil siasatan awal, mereka mengaku terlibat dalam lima kes samun di daerah Nusajaya dan Johor Baharu Utara.
    
- Bernama

Tiada ulasan: