11 Oktober 2013

Amah Indonesia Larikan Barang Kemas Bernilai RM185,000

6 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang amah Indonesia yang baharu dua bulan berkhidmat dengan majikannya di Denai Alam di sini didakwa melarikan barang kemas termasuk berlian, kesemuanya bernilai RM185,000, Selasa lepas.
Rossazannah Omar, 48, pemilik butik di Seksyen 7 di sini berkata kejadian itu hanya disedari kira-kira dua jam selepas mendapati amahnya yang dikenali sebagai Wati Wijayanti, 23, menghilangkan diri. "Pada hari kejadian, saya hantar Wati dan anak bongsu saya berumur 6 tahun, ke butik sebelum menghadiri mesyuarat di Damansara, sebaik pulang kira-kira pukul 11 pagi saya dapati Wati dan anak saya tiada di butik.

"Selepas menunggu lebih sejam, hati saya mula tidak sedap...saya bimbangkan anak saya dan terus ke sekolah berhampiran dan dimaklumkan oleh seorang guru bahawa Wati menghantar anak saya lebih awal iaitu pukul 11 pagi berbanding kebiasaannya 1.30 tengah hari," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, Khamis.
Rossazannah berkata beliau kemudiannya bergegas pulang ke rumah dan mendapati kesemua barangan kemas miliknya telah lesap dari almari selain sebuah telefon pintar.
Beliau berkata selepas memeriksa bilik pembantu rumahnya itu, dia menemui beberapa kertas catatan peribadi amahnya termasuk satu nota bertulis '8 Oktober lari'.
Beliau percaya amahnya itu menjalin hubungan dengan seorang lelaki warganegara Indonesia yang bekerja berhampiran kawasan perumahannya.
Rossazannah yang mendapatkan khidmat amah itu secara online daripada seorang warga tempatan di Putrajaya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai amahnya supaya tampil menyalurkan maklumat.
Katanya beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada hari kejadian dan turut menyerahkan beberapa dokuman termasuk pasport milik amahnya kepada pihak polis .
Jurucakap polis di IPD Shah Alam ketika dihubungi berkata kes itu sedang disiasat.-BERNAMA

Tiada ulasan: