17 October 2013

Buat Tanpa Ilmu; Tidak Tahu Elok Bertanya


12 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Ust. Ahmad Baei Jaafar

Dalam satu majlis sambutan hari raya Eiduladha semalam, pengerusi majlis meminta semua jemputan bertakbir raya. Lalu bergemalah suara takbir pada malam itu. Persoalannya, apakah takbir itu masih disunatkan atau dalam kata lain menjadi sunah Rasulullah atau tidak?

Persoalan ini jika diajukan kepada orang ramai, mereka kata, takbir itu kan perkara baik takkan tidak disunatkan. Jawapan lain, kan radio dan televesyen sering menyiarkan takbir itu sehingga 13 Zulhijjah. Jelas daripada jawapan itu, mereka tidak berlandaskan ilmu yang sebenar. Beramal tanpa ilmu tentulah tidak dinilai oleh Allah.

Sebenarnya, ramai yang terkeliru tentang hukum takbir raya. Memang pada dasarkannya sunat bertakbir sebagai tanda syukur. Tetapi untuk melaksanakannya amalan itu tentu terdapat sunnahnya pula, ada kaedah dan ada tatacaranya. Maknanya kalau kita tidak ikut garis panduannya tidak dapat pahala walaupun tidak berdosa. Inilah yang selalu disebut sebagai makruh.

Takbir hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha terbahagi kepada dua jenis; takbir mulsal dan takbir muqaiyad. Lihatlah perbezaan kedua-duanya:

Takbir Muqaiyad: Takbir yang mengiringi solat termasuk solat sunat dan jenazah. Takbir ini terikat dan berkait dengan solat yang dilakukan. Waktunya bermula dari waktu Subuh hari Arafah sehingga sebelum terbenam matahari hari ke 13 Zulhijjah. Walaupun waktunya panjang tetapi masa untuk takbir tidak luas. Maka tidak bolehlah kita bertakbir daripada rumah ke rumah sewaktu ziarah selepas solat hari raya. Tidak bolehlah juga takbir sebagai pembukaan sesuatu majlis untuk jamuan hari raya.

Tetapi untuk hari raya Eidulfitri, masanya hanya selepas masuk 1 Syawal hingga imam mulakan solat eidulfitri. Maknanya takbir ini amat terhad. Sebab itu sesiapa yang terlepas waktu takbir ini amat besar ruginya.

Takbir Mursal: Takbir yang tidak terikat dengan masa dan tempat, boleh dilakukan dalam keadaan apa juga sekalipun kecuali di dalam tandas. Waktu takbir ini bermula daripada terbenam matahari hari raya; Eidulfitri pada satu syawal dan Eiduladha pada 10 Zulhijjah. Berakhir takbir ini pada sebelum imam takbiratul-ihram solat sunat hari raya.

Takbir ini boleh dialunkan bukan sahaja di rumah-rumah yang kita ziarah pada malam raya itu, malah boleh dibaca dalam kenderaan dan sewaktu membeli belah pada malam raya atau pagi raya. Selepas Solat hari raya tidak ada lagi takbir mursal.

Supaya kita tidak terlepas begitu sahaja amalan sunat dan sunnah ini marilah kita baca takbir ini sendiri sewaktu solat sunat dan ikut imam jika kita solat berjemaah. Rugi kalau tak takbir kerana ganjarannya amat besar. Wallahu aklam.

No comments: