20 November 2013

Jangan pinggirkan PAS walau hanya satu Adun

16 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,19 Nov 2013
PULAU PINANG: Walaupun PAS Pulau Pinang hanya memiliki satu kerusi Dun, tidak bermakna suara, sumbangan, khidmat dan profesionalisma PAS di negeri ini dipinggirkan.

Dengan itu, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof, PAS negeri hendaklah dilibatkan dalam apa-apa perbincangan dasar dan polisi yang hendak dirancang oleh kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan.

“Perbincangan tersebut hendaklah melibatkan organisasi, bukan secara individu,” ujarnya dalam sidang akhbar di Seberang Jaya, hari ini.

Berikut kenyataan penuh PAS Pulau Pinang.

Bagi memperkukuh & memberdaya Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang, Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri P.Pinang pada 14 November 2013 lalu yang dipengerusikan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS P.Pinang YB Datuk Mohd Salleh Man, telah membuat beberapa ketetapan untuk makluman & tindakan Kerajaan Negeri serta Majlis Pakatan Rakyat Negeri P.Pinang, seperti berikut:-

1. Memberi kuasa penuh tanpa sebarang campur tangan yang tidak wajar kepada YDP MAINPP sekarang (YB Datuk Mohd Salleh Man) untuk mengemukakan makluman keputusan cadangan lantikan Ahli-ahli Majlis MAINPP serta mana-mana portfolio @ Lembaga Pengarah dalam mana-mana agensi atau anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Kami difahamkan terdapat campur tangan yang tidak sewajarnya dari pihak Exco Kerajaan Negeri untuk menetapkan Ahli-ahli Majlis MAINPP serta Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat MAINPP untuk sesi akan datang. Jika benar, ianya adalah satu tindakan yang bertentangan etika & semangat Pakatan Rakyat. Tindakan campur tangan ini sangat dikesali.

2. Menambah bilangan Ahli Majlis MPPP & MPSP untuk kuota PAS P.Pinang dari 2 orang setiap PBT kepada 4 orang setiap PBT. Ini adalah manifestasi dari pandangan ahli peringkat akar umbi dalam mesyuarat-mesyuarat agung yang telah dijalankan sebelum ini.
Perlantikan Ahli Majlis MPPP & MPSP untuk kuota PAS ini hendaklah dilantik dengan cadangan & persetujuan PAS P.Pinang.

3. Memberi kuasa penuh kepada PAS P.Pinang untuk memilih & melantik JKKK di kawasan Dun/Parlimen yang ditandingi PAS (6 Dun, 2 Parlimen).

Kami difahamkan bahawa terdapat lantikan JKKK di kawasan yang ditandingi PAS dibuat secara terus kepada individu terlibat tanpa persetujuan & perbincangan melibatkan pihak PAS Kawasan. Tindakan ini juga melanggar etika Pakatan Rakyat. Ia sangat dikesali.

4. Memperuntukkan kuota mewakili PAS bagi lantikan Ahli Lembaga Pengarah dalam anak-anak syarikat milik/berkaitan kerajaan negeri (GLC). Sehingga kini, tiada mana-mana lantikan yang dibuat mewakili PAS dengan persetujuan PAS P.Pinang. Tindakan ini juga tidak menggambarkan semangat kerjasama Pakatan Rakyat.

Tuntutan/ketetapan ini dibuat berdasarkan beberapa justifikasi seperti berikut:-

1. Mesyuarat Agung PAS Kawasan-kawasan seluruh P.Pinang serta sayap parti (Dewan Ulamak, Dewan Pemuda & Dewan Muslimat) yang berlangsung baru-baru ini sebahagiannya membuat keputusan bahawa PAS P.Pinang perlu lebih bertegas dengan pihak rakan Pakatan Rakyat dalam Kerajaan Negeri P.Pinang supaya diberi peranan & posisi yang seimbang dalam kerajaan negeri. Tuntutan ini dibuat berdasarkan maklumbalas ahli-ahli peringkat akar umbi bagi memperkukuhkan PAS dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

2. Tuntutan & ketetapan ini adalah selari dengan semangat persefahaman & kerjasama  yang digariskan dalam Pakatan Rakyat.

3. Ia juga adalah selaras dengan slogan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) yang diamalkan Kerajaan Negeri. Kami mendapati bahawa slogan CAT ini tidak dipraktikkan dalam hubungan PAS bersama Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

4. PAS P.Pinang akan terus bertindak sebagai juru semak & imbang (check and balance) kepada Kerajaan Negeri & Pakatan Rakyat P.Pinang. Tuntutan & ketetapan ini adalah sebahagian dari fungi semak & imbang tersebut.

5. PAS P.Pinang bimbang dengan campur tangan yang tidak wajar oleh pihak kerajaan negeri terhadap MAINPP akan menyebabkan berlakunya ‘Pertindihan Kuasa’ yang akan mengganggu kelancaran pentadbiran & organisasi MAINPP yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

6. Walaupun PAS P.Pinang hanya memiliki 1 kerusi Dun, ia tidak bermakna suara, sumbangan, khidmat & profesionalisma PAS di Pulau Pinang dipinggirkan.

Dengan ini, PAS P.Pinang membuat penegasan bahawa:-

1. PAS P.Pinang hendaklah dilibatkan dalam apa-apa perbincangan dasar & polisi yang hendak dirancang oleh kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan. Perbincangan tersebut hendaklah melibatkan organisasi, bukan secara individu. Hal ini amat perlu kerana ahli-ahli PAS, penyokong dan pendokong PAS tidak mengizinkan PAS dilihat seperti boneka rakan Pakatan Rakyat terutamanya di P.Pinang.

2. Sebarang pelantikan politik terhadap mana-mana jawatan, portfolio, posisi dalam kerajaan negeri yang melibatkan kuota PAS mahupun pimpinan atau mana-mana ahli PAS, mestilah dengan perbincangan dan persetujuan PAS P.Pinang. Jika tidak, PAS P.Pinang tidak mengiktiraf penglibatan individu tersebut sebagai mewakili parti dan akan mengambil tindakan ke atas individu berkenaan, serta menganggap tindakan ini sebagai mengenepikan PAS P.Pinang.

3. PAS P.Pinang dengan penuh hormat akan menarik diri serta meletak jawatan dalam beberapa tawaran jawatan, portfolio dan posisi jawatan tertentu dalam Kerajaan Negeri jika tuntutan & ketetapan ini tidak diambil serius oleh pihak Kerajaan Negeri & Majlis Pakatan Rakyat.

PAS P.Pinang juga akan mengkaji kembali kedudukannya dalam Pakatan Rakyat P.Pinang jika tidak lagi diperlukan dalam kerajaan negeri, demi memelihara prinsip & maruah perjuangan.

No comments: