20 November 2013

Pakatan P Pinang perlu selalu bersemuka - Saleh

16 Muharram 1435H. [MOD] -
PULAU PINANG: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man menegaskan, kepimpinan Pakatan Rakyat negeri wajar bersemuka selalu dalam pertemuan untuk menjernihkan sesetengah isu yang berbangkit.

Mengulas saranan akar umbi PAS yang dibangkitkan dalam sidang media tengah hari semalam di Seberang Jaya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir khuatirsekiranya tiada pertemuan antara parti DAP, PKR dan PAS di peringkat negeri sebagaimana sekarang, ia akan meninggalkan natijah yang kurang memberangsangkan terhadap kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Saya cadangkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang bertemu selalu untuk menjernihkan keadaan agar apa yang menjadi harapan ahli akar umbi diberikan keutamaan," jelasnya ketika dihubungi.

Menurutnya, memang terdapat beberapa persoalan atau tidak puas hati kalangan kepimpinan parti ekoran sikap sesetengah Exco namun ianya boleh diselesaikan menerusi pertemuan sesama Pakatan Rakyat.

Katanya, menjadi masalah sekarang, tiada langsung pertemuan kepimpinan Pakatan Rakyat di peringkat negeri sejak Pilihan raya Umum ke-13.

"Pertemuan antara parti gabungan Pakatan Rakyat di peringkat negeri kena diadakan supaya tidak timbul rasa tidak puas hati di kalangan ahli," terangnya.

Menyentuh berkaitan tuntutan dalam sidang media tersebut seperti campur tangan dalam pemilihan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) beliau berkata, ia perlu ditangani dengan bijak dan penuh berhemah jangan tamak sehingga meninggalkan kesan sampingan yang boleh merosakkan persefahaman bersama.

Justeru itu, sebagai seorang yang berpengalaman berpolitik beliau menyarankan, pertemuan antara parti amat penting kerana semuanya pasti menjernihkan mana-mana yang keruh.

Tiada ulasan: