22 November 2013

Kuasa rakyat sekat kemaraan kuasa besar dunia

18 Muharram 1435H. [MOD] -

SHAH ALAM: “Kuasa rakyat dan kebenaran” akan terus bangkit dan tidak akan dapat disekat lagi walaupun dengan segala kepakaran dan persenjataan yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berucap membentangkan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati, dekat sini, sebentar tadi, beliau berkata dunia umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran apabila maruah serta nyawa umat Islam bagaikan tidak mempunyai apa-apa harga dan nilai seperti berlaku di bumi Syria, Mesir, Myanmar, Kashmir, Afghanistan, Bangladesh dan Palestin.

”PAS amat tersentuh dengan apa yang berlaku di bumi Syria dan Mesir.  Pertumpahan berdarah yang sedang berlaku di Syria mesti dihentikan segera. Konflik kemanusiaan yang amat meruncing ini berlaku berikutan kebangkitan rakyat Syria untuk menumbangkan rejim zalim Bashar al-Assad.

 ”Apa yang kita sedang lihat adalah amat tragis dan memilukan. Kini lebih 100,000 orang rakyat Syria yang kebanyakannya rakyat awam yang terbunuh dan lebih dari 3 juta rakyatnya terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran,” ujarnya.

 Mengulas perkembangan itu, beliau menyatakan pendirian tegas PAS agar pertumpahan berdarah itu dihentikan segera manakala sebarang usaha campur tangan asing mestilah dihalang.

 Konflik di Syria, ujarnya secara jelas didalangi percaturan dua blok kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Rusia yang masing-masing menjadikan bumi Syria sebagai medan perebutan hegemoni kuasa dan kepentingan strategik.

Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukan masa depan negara mereka sendiri. Apa yang pasti ialah rejim Bashar al-Assad mesti diturunkan segera, dan kekejaman yang berlaku disiasat oleh Tribunal Bebas Antarabangsa,” tegas beliau.

Menyentuh perkembangan di Mesir, beliau menyifatkan peristiwa rampasan kuasa tentera serta pembunuhan beramai-ramai umat Islam di  Dataran Raba’ah Adawiah, Mesir sebagai tragedi yang menyentuh hati.

” Kekejaman rejim tentera pimpinan General Abdul Fatah as-Sisi seolah-olah dibiarkan sahaja oleh masyarakat dunia kononnya untuk menghapuskan kumpulan ‘terroris’ ataupun ‘pengganas Islam’; walaupun yang di bunuh adalah terdiri dari kanak-kanak, ibu-ibu dan orang awam yang tidak berdosa.

”Walaupun Morsi telah berjaya digulingkan, dan ramai pimpinan Ikhwan yang kini di seksa di penjara,rakyat Mesir akan terus bangkit dan menyemarakkan tuntutan ‘hak serta kebebasan mereka’. Bagi saya, apa yang sedang berlaku di Mesir lambat laun akan tetap merubah pola politik dunia Islam dan antarabangsa,” katanya.

Ustaz Abdul Hadi turut mempersoalkan definasi serta kayu-ukur digunakan Amerika Syarikat dan sekutu rapatnya bagi melaksanakan ”keadilan antarabangsa” terutama terhadap negara-negara umat Islam seperti Mesir.

”Faktor terpenting bagi mereka terus menguasai negara – negara umat Islam adalah dengan memastikankepentingan strategik Amerika bagi melindungi sumber tenaga dan keselamatan negara haram Zionis Israel.

”Pemerintah yang ‘adil’ seperti rejim tentera as-Sisi sekarang adalah pemerintah yang tunduk kepada arahan Amerika Syarikat dan negara haram Zionis Israel, manakala kerajaan yang ‘demokratik’  menurut tafsiran Amerika Syarikat  adalah negara yang tidak menggugat keselamatan negara haram Israel, serta mempunyai polisi minyak yang akan memastikan kepentingan hegemoni Amerika Syarikat di negara-negara umat Islam,” tegas beliau.

Ustaz Abdul Hadi turut menegaskan komitmen PAS untuk terus memperjuangkan isu Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa akan kekal menjadi agenda terpenting parti di peringkat antarabangsa.

Harakahdaily

Tiada ulasan: