22 November 2013

PAS tetap pilih pendekatan demokrasi

18 Muharram 1435H. [MOD] -

SHAH ALAM: Walaupun berdepan dengan cabaran getir dalam mengharungi pentas demokrasi yang dipesongkan daripada dasar dan konsepnya yang sebenar, PAS tetap memilih pendekatan demokrasi dalam ruang siasah yang ada, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Kita percaya bahawa demokrasi yang adil secara menyeluruh, adalah mampu untuk menyelesaikan masalah dalaman umat Islam yang jahil agamanya, serta tidak sabar dalam menyampaikan risalah dakwah.

"Sebarang kecacatan yang berlaku terhadap sistem demokrasi, adalah akibat dari pencabulan dan campurtangan pihak yang menggunakan demokrasi untuk mengekalkan kuasa politik dan ekonomi mereka," ujar beliau.

Ketika membentangkan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati dekat sini sebentar tadi, beliau berkata memperjuangkan demokrasi bukan bermakna melunturkan  cita-cita Islam PAS, malah parti Islam itu akan terus bertegas mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan mengikut tafsiran yang sebenar seperti termaktub dalam perlembagaan.

PAS juga tambahnya, menyeru kerajaan supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan yang bercanggah dengan Islam di peringkat antarabangsa termasuk menerusi sesi pendengaran Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kerajaan juga mestilah menolak mana-mana cadangan yang bertentangan dengan status quo undang-undang persekutuan mengenai kedudukan agama Islam dalam negara dan sebarang usaha untuk membawa rakyat dalam negara kita ini untuk mengamalkan gaya hidup bebas songsang yang terbabas dari tabii kehidupan penciptaan manusia," tegasnya.
Ustaz Abdul Hadi menambah, PAS secara konsisten memperjuangkan demokrasi yang lebih telus dan adil, kerana demokrasi tempang adalah senjata bagi Umno-BN untuk mengekalkan kuasa.
" Lihatlah sahaja bagaimana Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno-BN telah menghukum rakyat Kelantan apabila menafikan pilihan suara hati rakyat Kelantan selama 23 tahun dengan memilih kita sebagai kerajaan yang memerintah di Kelantan.

"Rakyat Kelantan dinafikan hak royalti petroleum, setelah merompak hak rakyat Terengganu  dengan usul dalam Perhimpunan Agung Umno," kesalnya.

Kerajaan Persekutuan juga, ujar beliau telah mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat yang boleh dianggap sebagai "menubuhkan kerajaan lain dalam sebuah kerajaan yang sah".

Tindakan kerajaan BN ini, ujarnya telah mencabuli hak memilih rakyat dan mencemari konsep federalisme dalam Perlembagaan.

Bagi mengatasi masalah ini, PAS jelasnya akan terus merangka strategi khusus dalam memberikan kefahaman dan pendidikan demokrasi kepada umum guna melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka.

Harakahdaily

No comments: