22 November 2013

Jadikan kekalahan Kedah sebagai iktibar

18 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:  Kekalahan PAS di Kedah perlu menjadi iktibar kepada aktivis parti dan tidak melemahkan semangat mereka sehingga melupai erti sebenar perjuangan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau menyarankan aktivis parti agar bermuhasabah diri dan tidak menjadikan faktor lawan semata-mata sebagai penyebab kekalahan.

"Kita masih menjadi pilihan rakyat di Dun Sungai Limau Kedah, dalam pilihan raya kecil yang baharu sahaja berlalu. Kita wajib muhasabah diri sendiri secara dalaman, bukan hanya menjadikan lawan sahaja sebagai penyebab kekalahan kita. Semua itu wajar menjadi sempadan dalam lipatan sejarah dalam kita bergerak ke hadapan," ujarnya ketika membentangkan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-59, di Stadium Melawati, dekat sini, sebentar tadi.
Tuan Guru Abdul Hadi bagaimanapun bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada jentera parti, rakan–rakan dalam Pakatan Rakyat dan rakyat kerana memberikan 'benih sulung' PAS di kerusi Dun Bukit Baru, Melaka dan kerusi-kerusi baharu pilihan raya yang dimenangi di seluruh negara.
Beliau turut menasihati anggota parti yang diberikan amanah kepimpinan di peringkat negara (senator), negeri, daerah, kampung dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan supaya bersabar dengan ujian, melakukan persiapan rapi, bermaklumat, mendampingi rakyat dan ikhlas dalam melaksanakan amanah.
"Bagi membawa mesej 'Rahmat Untuk Semua' ini, PAS akan terus menjadi rakan aktif dalam Pakatan Rakyat (PR). Ingatlah, bahawa kita bukan penumpang semata-mata, rakan-rakan kita juga bukan penumpang, tetapi semua parti-parti dalam PR adalah penggerak bersama untuk memperkukuhkan peranan dalam membawa persefahaman politik ini ke tahap yang lebih maju dan seterusnya memikul amanah yang berat ini," ujarnya.\

Harakahdaily

Tiada ulasan: