22 November 2013

Terima sistem pendidikan Islam dalam arus perdana negara

18 Muharram 1435H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Pusat digesa memperakui hak asasi umat Islam dalam pendidikan dengan menerima sistem pendidikan Islam sebagai salah satu sistem pendidikan arus perdana dalam negara, sekaligus membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR), kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ketika membentangkan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati, dekat sini pagi ini, beliau juga mahu hak rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk mendalami bahasa ibunda diperkukuhkan supaya wujud ruang terbuka bagi menambah kemahiran berbahasa di negara ini.

"PAS tidak mahu dasar pembangunan pendidikan yang dilakukan terpisah daripada tradisi budaya bangsa kerana matlamat pendidikan adalah untuk kebaikan manusia melalui sifat ihsan mereka di samping menolak sifat melakukan kerosakan," tegasnya.
Beliau turut menyarankan ahli-ahli PAS supaya mendokongi institusi-institusi pendidikan PAS daripada peringkat PASTI, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi bahkan pusat-pusat kemahiran vokasional dan teknikal.
"Pembangunan pendidikan hendaklah digarap secara lebih serius bagi mencapai matlamat memberikan pendidikan yang bermutu kepada semua ahli PAS dan anggota masyarakat.
"Dalam masa yang sama, usaha PAS untuk membantu pembangunan sekolah-sekolah agama rakyat melalui Majlis Kebajikan Dan Pembangunan Pendidikan (MAKPEN) hendaklah disokong sepenuhnya," jelas beliau.
Ustaz Abdul Hadi turut mengkritik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang  tidak memperlihatkan kesungguhan usaha kerajaan dalam menyelesaikan isu pendidikan secara umum khususnya pendidikan Islam.

Malah tindakan kerajaan mengupah konsultan luar negara dengan kos RM20 juta bagi menggubal pelan pendidikan itu memberikan gambaran bahawa kerajaan pimpinan BN tidak yakin dengan kebolehan anak bangsa.

"Menggunakan makhluk asing untuk mengatur pendidikan kita adalah menempah kegagalan lagi, di mana anak-anak kita hanya sekadar menjadi bahan ujian mereka sahaja," ujarnya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: