22 November 2013

PAS adalah gerakan islah dan tajdid

18 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: PAS adalah gerakan islah dan tajdid (pembaharuan) yang berperanan  membetulkan fahaman salah dalam masyarakat dan negara oleh pengaruh pemikiran asing yang pernah menjajah umat Islam.

Sehubungan itu, PAS ujar Prresidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan terus memperjuangkan rahmat Allah daripada ajaran Islam yang membawa keadilan sejagat.

Ketika membentangkan ucapan dasar bertajuk "Rahmat Untuk Semua" pada majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati, dekat sini, beliau berkata, untuk mencapai tujuan itu organisasi parti perlu menyediakan rangka kerja yang berstruktur, mempunyai objektif dan sasaran kerja yang konstruktif, pejabat yang lengkap, sistem pengurusan konflik dan melaksanakan petunjuk prestasi dalam mencapai sasaran jamaah.

"Sebagaimana yang selalu saya pertegaskan, bahawa PAS bukanlah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bergerak dalam jalur tarbiyah – dakwah – siyasah mewarisi cita-cita perjuangan yang menjadi tugas kita sebagai khilafah di atas muka bumi ini yang meletakkan politik menjadi agenda penting yang tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam," ujarnya.

Sehubungan itu, jelas beliau, adalah menjadi satu kesilapan sekiranya PAS disamakan dengan parti-parti dan kumpulan Islam yang lain.

 Menyentuh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang berlangsung Mei lalu, beliau berkata PAS dan  Pakatan Rakyat telah turun ke gelanggang demokrasi berhadapan BN di padang yang tidak sama rata.
Demokrasi pilihan raya, ujarnya  bukanlah tertumpu kepada aktiviti berkempen, membuang undi  dan menabur janji, malah adalah medan rakyat memilih parti untuk memimpin negara.
"Kita terus berdepan dengan media arus perdana yang tidak berlaku adil, betapa parahnya rasuah wang ringgit dan projek segera yang dijanjikan kepada rakyat, sedangkan projek terdahulu ada yang belum pun nampak tandanya, penggunaan jentera dan agensi kerajaan dalam aktiviti berkempen,  dan berbagai lagi bentuk penyalahgunaan serta kepincangan yang merendahkan taraf pemikiran rakyat malah mengancam sistem demokrasi di negara kita," tegasnya.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana dalam keadaan serba kekurangan, PAS dan Pakatan Rakyat masih mampu bertahan dan meraih undi popular menjadikan kerajaan BN yang dibentuk sebagai 'kerajaan minoriti'.
"(BN) hanya mempunyai  majoriti jumlah kerusi parlimen, disebabkan sistem first past the post yang diamalkan dalam sistem pilihan raya. Kita kekal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
" Kerajaan Persekutuan BN minoriti rakyat ini pula hanya mampu memperolehi 46.53% sokongan pengundi, berbanding Pakatan Rakyat yang mencapai sokongan 49.96% melalui jumlah undi keseluruhan," ujarnya.
Harakahdaily

Tiada ulasan: