26 November 2013

Pemuda mesyuarat 28 Nov, lantik anggota Dewan Harian

22 Muharram 1435H. [MOD] -
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Saf kepimpinan baru Pemuda PAS Malaysia sesi 2013-2015 yang dipilih pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-54 minggu lalu akan mengadakan mesyuarat pertama mereka pada Khamis, 28 November ini.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata mesyuarat tersebut akan memfokuskan kepada pelantikan jawatan-jawatan rasmi Dewan Harian sayap itu iaitu Setiausaha, Penolong-penolong setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya.

"Mesyuarat tersebut akan membuat pelantikan Setiausaha, tiga orang Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun menurut beliau, mesyuarat tersebut mungkin tidak akan membincangkan soal pelantikan ahli jawatankuasa tambahan seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

"Kita akan draf perancangan dan keperluan kita untuk sesi ini. Biar ia selesai dahulu perancangan ini baru kita tengok siapa yang sesuai.

"Kita ukur baju dulu bagi siap, lepas tu baru kita cari kain," katanya.

Pada pemilihan dewan itu Khamis lalu, Suhaizan dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia, Mohd Khalil Abdul Hadi sebagai Timbalan Ketua, Ir Khairil Nizam Khirudin sebagai Naib Ketua dan 12 lagi sebagai ahli jawatankuasa.

No comments: