26 November 2013

Talam: S'gor peroleh nilai aset RM700 juta

22 Muharram 1435H. [MOD] -
SELANGORKINI
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperolehi nilai aset berjumlah RM700 juta daripada penyelesaian hutang Talam Corporation Berhad (Talam) yang nilai asalnya berjumlah RM390 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata aset hartanah yang diperolehi melalui kutipan hutang Talam itu akan dibangunkan Kerajaan Negeri bagi memastikan ia terus menjana keuntungan.

Abdul Khalid berkata, tanah di Bukit Beruntung seluas 1,275 ekar dan 25.93 ekar akan dibangunkan dalam bentuk pembangunan bercampur oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Katanya, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menjual tanah berkenaan walaupun terdapat pihak yang menyatakan hasrat untuk membelinya dengan harga RM300,000 bagi satu ekar.

“Tanah Bukit Beruntung, ia akan dibuat dalam bentuk pembangunan bercampur, pelan pembangunan sudah disiapkan dan sekarang ada orang yang ingin membeli satu ekar dengan harga RM300,000, jadi kita tidak bercadang untuk menjualnya.

“Saya akan tunjukkan bahawa Insyallah bahawa kita dapat bangunkan Bukit Beruntung, kawasan itu akan menjadi beruntung,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, tanah di Bestari Jaya berkeluasan 2,263 ekar akan dibangunkan menjadi tapak takungan air bagi mengatasi masalah kekurangan air ketika musim kemarau.

Katanya, terdapat dua cadangan yang dikemukakan bagi pembangunan di Bestari Jaya iaitu untuk dijadikan tapak takungan air dan pembangunan hartanah di kawasan sekitar takungan air itu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan kelak.

“Kerajaan Negeri menjual tanah di Danau Putra berkeluasan 140 ekar dengan nilai RM60 juta dan tanah Puncak Bukit Jalil seluas 12 ekar yang dibeli Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB),” kata beliau.

Tiada ulasan: