26 November 2013

Saya terus berperanan sebagai ahli parlimen - Mahfuz

22 Muharram 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Perlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tetap tenang walaupun diperli ahli parlimen Barisan Nasional (BN) berikutan tidak dapat mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 yang berakhir Ahad lalu.

Beliau dikatakan emosi dan marah ketika berbahas semalam di Dewan Rakyat yang telah menjadi tajuk dalam media milik Umno BN.

Mahfuz ketika ditemui menjelaskan walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Naib Presiden PAS, beliau tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Whip Parlimen PAS yang akan sentiasa membawa isu-isu semasa di parlimen bagi mendapat penjelasan kerajaan.

"Walaupun ada ahli-ahli parlimen BN bangkit mengatakan saya kalah dalam pemilihan baru-baru ini, itu tidak mematah semangat saya untuk terus berjuang dengan parti dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parlimen.

"Jawatan hanyalah hieraki kedudukan di dalam sesebuah parti dan bukan pengakhiran kepada apa yang kita laksanakan sebelum ini.

"Sebagai Ketua Whip saya bertanggungjawab untuk mendesak kerajaan memperjelaskan setiap penyelewengan yang berlaku, setiap nada perbahasan kita itu bukan marah tetapi geram apabila isu penyelewengan sentiasa berulang," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu beliau yang turut menegaskan Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat dilihat lebih telus jika dibandingkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahupun Jawatankuasa Pemilihan Umno.

Katanya apabila kesilapan teknikal dapat dikesan, pihak Jawatankuasa Pemilihan PAS dengan segera menangguhkan pemilihan dan memohon maaf di atas kesilapan tersebut dan bukan meneruskan pemilihan.

Tambahnya, sehubungahn itu mereka meletakkan kerana merasa bertanggungjawab dan bersalah dengan kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Perkara itu dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar yang mengatakan pemilihan PAS gagal dan tidak terurus sehingga terpaksa melakukan undian semula.

"Mereka terus bertindak menangguhkan pemilihan apabila mengesan berlakunya kesilapan teknikal dan terus meminta maaf sehingga sanggup meletakkan jawatan dari jawatankuasa.

"Ini tidak berlaku pada SPR yang terus memekak telinga walaupun terdapat kesilapan serta keraguan yang telah didedahkan pada pilihanraya umum yang lalu," tegas Mahfuz.

Mahfuz menegaskan walaupun apa yang ingin dilebalkan oleh Ahli Parlimen BN terhadap kekalahan beliau, baginya itu tidak mematah semangatnya untuk membawa suara rakyat di parlimen.

Sebagai ahli PAS, beliau mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan parti itu terus berjuang mengikut apa yang telah ditetapkan dan suara rakyat akan dibawa sehingga mendapat pembelaan.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: