06 December 2013

Banjir bertambah buruk, 42,626 mangsa dipindah

2 Safar 1435H. [MOD] -

Keadaan banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak malam tadi meningkat kepada 42,626 orang pagi ini.
    
Semalam, jumlah yang dipindahkan sebanyak 37,136 orang.
    
Pahang merupakan negeri paling buruk mengalami kesan musim tengkujuh ini dengan 34,235 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 9 pagi ini beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya Km28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km62 Jalan Kuantan-Rompin.
    
"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling banyak iaitu 27,391 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama hari ini.
    
Rompin menempatkan 2,865 mangsa banjir, Pekan (3,218), Maran, (49), Jerantut (451), Lipis (33), Temerloh (167) dan Bera, daerah terbaharu memindahkan mangsa banjir, mempunyai 61 orang di pusat pemindahan pagi ini.
    
Di KELANTAN, menurut portal rasmi kerajaan negeri Kelantan, jumlah penduduk Kelantan yang dipindahkan di enam jajahan di negeri itu bertambah pagi ini dengan keseluruhannya sebanyak 2,339 orang.

Banjir itu turut merebak ke Tumpat yang merupakan jajahan keenam menerima musibah itu berikutan limpahan air Sungai Golok.
    
Pasir Mas di Rantau Panjang menyaksikan jumlah terbanyak mangsa dipindahkan iaitu 1,345 orang yang kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan, dan diikuti jajahan Kuala Krai sebanyak 506 orang.
    
Di Tanah Merah, sebanyak 222 orang masih berada di 10 pusat pemindahan, Pasir Puteh (219) dan Tumpat hanya lapan orang.
    
Keadaan cuaca yang baik sejak semalam menyebabkan keadaan paras air sungai surut namun di Sungai Golok, Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.34 meter (bahaya 9 meter).
    
Tiada jalan utama yang ditutup dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir di Kelantan dan keadaan cuaca pada pagi ini cerah.
    
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir masih kekal seperti malam tadi iaitu 6,052 orang daripada 1,559 keluarga.
    
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) kawasan yang terjejas banjir di Terengganu ialah Kemaman, Dungun, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.
    
Katanya sehingga pukul 8 pagi, jumlah mangsa banjir di Kemaman adalah sebanyak 2,372 (595 keluarga), Dungun 2,668 (670 keluarga), Hulu Terengganu 844 (242 keluarga), Setiu 99 (32 keluarga) dan Marang 63 (18 keluarga).
    
Pusat pemindahan yang beroperasi masih kekal seperti malam tadi, kesemuanya 82 buah iaitu di Kemaman (31), Dungun (29), Hulu Terengganu (13), Marang dan Setiu, masing-masing (4).
     
Di MELAKA, air Sungai Kesang yang melimpah sehingga memaksa 25 mangsa dari Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin ditempatkan di pusat pemindahan banjir, kini berada di bawah paras waspada. 
    
Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Mejar Jafri Mohamed berkata mereka masih belum dibenarkan pulang sebagai langkah berjaga-jaga ditambah dengan keadaan cuaca mendung pagi ini.
    
Air Sungai Kesang kini berada pada paras 3.04 meter, katanya ketika dihubungi.

- Bernama

No comments: