07 Disember 2013

Banjir: Pemuda PAS kumpul sumbangan RM40,300

3 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan terima kasih atas sumbangan bertali arus dari masyarakat yang prihatin terhadap musibah banjir yang berlaku di Pahang, Terengganu dan Johor beberapa hari ini. 


Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, setakat hari ini, DPPM telah menerima sejumlah RM40,300 duit kutipan hasil sumbangan orang ramai dan jumlah tersebut terus meningkat setiap hari.
 
Katanya, hasil dari misi pertama pasukan Jabatan Amal Malaysia di dua daerah terlibat teruk dengan musibah ini, kerja-kerja misi pengagihan bantuan sedang giat dijalankan. 

Di daerah Kemaman, ujarnya pasukan Amal bersama Alternative Riding Club (ARC) seramai 70 orang keseluruhannya bertungkus lumus mengagihkan bantuan berupa makanan dan peralatan termasuk pakaian, ubat-ubatan, selimut dan bantal di pusat pemindahan banjir di stadium, sekolah dan juga masjid. 

Beliau berkata, Bilik Gerakan telah dibuka 24 jam untuk membantu kawasan terjejas teruk seperti Air Puteh, Chukai, dan Kemasek. 

“Dalam beberapa jam kebelakangan ini sudah ada tanda-tanda hujan semakin reda dengan ada mangsa yang telah kembali ke rumah dan misi menghantar bantuan ke rumah juga dilakukan oleh pasukan Amal,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 Menurut beliau lagi, misi seterusnya di kawasan terbabit adalah untuk pembersihan dan ia akan mula dilakukan pada hari Ahad bersama anggota Jabatan Amal seluruh negara yang akan berkampung di sana.

Di   Kuantan pula, katanya kawasan yang terjejas teruk adalah di Sungai Isap dan Tanjung Lumpur. 

Tambahnya, Pasukan Amal seramai 30 orang tempatan berganding bahu membantu menyelamatkan mangsa ke pusat pemindahan banjir yang berdekatan. 

Katanya, misi mengagihkan bantuan dijalankan 24 jam melalui sumbangan orang ramai di pusat pemindahan serta rumah-rumah yang tidak terjejas. 

“Operasi pembersihan rumah terjejas juga akan mula dilaksanakan pada hari Ahad bersama pasukan bantuan Amal dari seluruh negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, ujar beliau DPPM memohon agar seluruh masyarakat sama ada individu, NGO, persatuan mahupun parti politik turut sama membantu menghulurkan bantuan semampu boleh bagi meringankan bebanan dan kesukaran yang dialami oleh mangsa banjir. 

DPPM juga masih menerima sumbangan dari pelbagai pihak untuk disalurkan ke keluarga yang terlibat melalui Tabung Kemanusiaan Pemuda melalui akaun Maybank: 564025400100 atau hubungi Sdr Yusapiza Ya’acob di talian hotline: 017-2692944.

“DPPM juga memohon umat Islam seluruh negara agar mengadakan solat Hajat dan bermunajat agar musibah ini akan segera berakhir,” ujarnya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: