07 Disember 2013

Penduduk panik gas ammonia dari kilang air bocor

3 Safar 1435H. [MOD] -
Pihak polis terpaksa mententeramkan penduduk yang marah ekoran kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang air batu di Semerak di Pasir Puteh semalam.


Kebocoran itu menimbulkan kemarahan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran, setelah menghidu bau kebocoran gas berkenaan pada pukul 11 pagi tadi. 
    
Bagaimanapun, anggota polis yang tiba di kawasan itu berjaya mententeramkan penduduk dan menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hasaan berkata, sembilan pasukan Unit Bahan berbhaya (Hazmat) yang diketuai Pegawai Kanan 2, Mohd Azlan Zainal dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu mengesahkan demikian selepas membuat pemeriksaan selama setengah jam ke kilang berkenaan mulai pukul 4.20 petang semalam.
    
"Ia hanya mengalami tahap bacaan 5ppm tidak memberi kesan kepada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar kilang itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
    
Wan Baijuri berkata, kebocoran itu berlaku ketika pihak kilang berkenaan cuba membaik pulih sistem paip untuk membekalkan gas bagi menghasilkan lebih 1,000 kiub ais batu sehari.
    
Beliau berkata bagaimanapun pihak kilang sudah pun berjaya menghentikan kebocoran itu pada pukul 3.30 petang.
    
Seseorang yang menghidu gas itu secara berlebihan akan merasa pening dan muntah dan jika tidak diberi rawatan segera ia boleh membawa maut.

- Bernama

Tiada ulasan: