KUALA LUMPUR: Para pendakwah disarankan untuk mengikuti strategi penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus untuk menarik minat anak-anak muda supaya mendekati ajaran Islam dan mempraktikkannya dalam kehidupan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi, berkata pendekatan Ustaz Azhar wajar dijadikan contoh kerana penceramah itu bijak mengatur strategi seiring dengan kemahuan dan selera anak-anak muda, namun masih berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.
Katanya, dalam dunia serba mencabar pada hari ini, kreativiti dalam menjalankan usaha berdakwah juga perlu agar segala mesej penting dapat disampaikan dengan cara yang berkesan.
“Ada yang tanya Ustaz Azhar, boleh atau tidak saya bawa ‘awek’ saya naik motor, Ustaz (Azhar) jawab boleh, tetapi ayah ‘awek’ awak kena duduk di tengah-tengah.
“Ini strategi Ustaz (Azhar) sebab dia tahu bahawa anak muda tidak mahu mendengar perkataan ‘tidak boleh’, maka dia bagi jawapan yang anak muda hendak dengar tetapi diselitkan syarat di sebalik ‘boleh’ itu,” kata Sallehen dipetik Selangor Kini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian program Simposium Pendakwah Muslimah yang diadakan di Dewan Auditorium Jubli Perak di SUK, semalam.
Selain itu, Sallehen turut menggesa agar para pendakwah memanfaatkan kecanggihan teknologi dan aplikasi terkini untuk menyampaikan maklumat atau ilmu dakwah dengan lebih menyeluruh dan meluas.
“Kita kena pandai posisikan diri dan jangan biar diri kita tertinggal dengan arus kemodenan teknologi yang saban hari muncul kerana kita tidak boleh tahan kecanggihan maklumat ini dari terus berkembang.
“Maka, lebih banyak unsur negatif yang boleh tersebar, lebih banyak juga usaha kita perlu lakukan untuk membendung perkara ini,” katanya yang juga Adun Sabak.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan