17 December 2013

Syabas mula baiki loji rawatan air sungai Selangor

13 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:  Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memulakan kerja dan henti tugas sementara hari ini di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2, Batang Berjuntai yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang dan Selangor.

    
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata pelaksanaan kerja-kerja henti tugas itu mengambil masa 13 jam mulai 8 pagi ini hingga 9 malam.
    
"Tempoh pemulihan bekalan air pula dijangka pada 9 malam. Oleh kerana gangguan ini melibatkan kawasan besar, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning untuk kesemua kawasan itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
    
Menurutnya Syabas telah membuat persediaan bagi mengurangkan kesan atau gangguan bekalan air kepada pengguna dengan memenuhkan semua kolam simpanan sebelum kerja henti tugas dilakukan. 
    
Sebahagian kawasan yang disenarai mengalami gangguan, khususnya kawasan berhampiran kolam air dan kawasan rendah, mungkin mendapat bekalan air tanpa kesan gangguan bekalan air.

Priscilla berkata kebanyakan kawasan mendapat pemulihan bekalan air dalam tempoh 24 jam selepas kerja henti tugas siap nanti.  
    
"Tempoh masa untuk bekalan air pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat adalah secara berperingkat dan bergantung kepada geografikal. Kawasan jauh dari sumber bekalan dan di tempat tinggi mendapat kembali bekalan agak lewat," katanya. 
    
Syabas menjangka kawasan tinggi dan jauh dari sumber air terutama di sekitar Petaling, Kuala Lumpur dan Klang/Shah Alam adalah kawasan bekalan air yang terakhir pulih sepenuhnya.
    
Sehubungan itu, Syabas menyarankan pengguna supaya mendapatkan maklumat terkini berhubung gangguan bekalan air menerusi laman sesawang http://www.syabas.com.my.
    
Pengguna juga boleh membuat aduan atau pertanyaan di laman Facebook atau Twitter Syabas dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'.

Sebelum ini, Syabas menyatakan henti tugas yang akan menyebabkan kira-kira sejuta penduduk di Lembah Klang dan Selangor berdepan gangguan bekalan air, bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama seperti papan suis dan paip keluli.
    
Pengepaman loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2 ke Kolam Imbangan Matang Pagar membekalkan air ke wilayah-wilayah Petaling, Gombak, Kuala Lumpur dan Klang/Shah Alam.
    
Henti tugas itu melibatkan 217,694 akaun pengguna termasuk di beberapa kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra. 


- Bernama

No comments: