11 December 2013

Desas desus tol naik: BN tambah bebanan rakyat

7 Safar 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Kerajaan pusat diingatkan tidak sesuka hati menaikkan kadar tol selepas kenaikan beberapa harga barang dan perkhidmatan yang berlaku dalam tempoh singkat.


Ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wong Chen, berkata jika benar kerajaan pusat berhasrat menaikkan kadar tol, mereka diminta untuk mendedahkan terma perjanjian konsesi kepada umum dan jangan menggunakan alasan tidak masuk akal.

Katanya, pakar ekonomi dan rakyat dapat menilai kewajaran tindakan kerajaan itu dengan adanya pendedahan perjanjian konsesi daripada pihak terbabit.
"Jika benar telus, dedahkan berapa kos pembinaan sesuatu lebuh raya dan jumlah kutipan yang dibuat sepanjang ia beroperasi.
"Jangan mudah bebankan rakyat tetapi syarikat kroni kenyang dengan hasil yang dikaut berlipat ganda sejak bertahun lamanya,” kata Wong Chen.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kelana Jaya dihubungi Selangorkini bagi mengulas desas-desus bahawa kadar tol di beberapa lebuh raya sekitar Lembah Klang akan dinaikkan pada tahun hadapan.
Dakwaan itu mula timbul ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa kerajaan pusat akan membuat keputusan sama ada kadar tol akan kekal atau dinaikkan, pada awal Januari ini.
Fadillah berkata, kerajaan pusat dapat menjimatkan sehingga RM 400 juta setahun jika bayaran pampasan kepada syarikat konsesi dihentikan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga tol seperti yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, terutama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.
"Kerajaan juga berkali-kali menjawab kepada saya di Parlimen bahawa mereka sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kadar tol dan kesesakan trafik di lebuh raya sekitar Lembah Klang.
"Adalah tidak masuk akal untuk tol dinaikkan sedangkan kenderaan yang menggunakan lebuh raya semakin hari meningkat, bermakna banyak juga kutipan tol yang dikaut syarikat konsesi. Jadi, kerajaan perlu menjelaskan perkara ini dan bukannya menaikkan kadar tol,” katanya.

Harakahdaily

No comments: