11 Disember 2013

Sudahlah harga barang naik, denda hilang MyKad naik juga?

7 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Cadangan pihak kerajaan meningkatkan kadar hukuman terhadap individu yang didapati bersalah menghilangkan kad pengenalan MyKad mereka tidak begitu realistik. 


Menurut Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee, tiada siapa pun suka atau sengaja menghilangkan MyKad.

“Adakah dengan menaikkan kadar hukuman terhadap individu yang kehilangan MyKad dapat menyelesaikan masalah kehilangan ribuan MyKad?” tanya beliau dalam satu kenyataan.
 
Misalnya, kata beliau penduduk di pedalaman Sarawak yang tinggal jauh dari bandar sudah tentu menyukarkan mereka untuk menukar atau membuat MyKad baru yang hilang. 

Katanya, kos pengangkutan dan tempat tinggal mereka untuk sampai ke bandar memerlukan ratusan ringgit. 

Tambahnya, bagi golongan yang kurang berkemampuan sudah pasti mereka tidak mampu untuk ke bandar semata-mata untuk menukar atau membuat MyKad baru. 
 
Katanya lagi, kebanyakan kehilangan MyKad penduduk di pedalaman menurut salah seorang penduduk yang berasal dari pedalaman Baram ialah sebab kualiti MyKad dulu tidak begitu baik, mudah rosak dan akhirnya mereka buang begitu saja sebab sukar bagi mereka menukar dengan MyKad baru kerana kos perjalanan pulang balik dari kampung ke bandar begitu tinggi. 

“Menurut mereka lagi antara sebab lain kehilangan MyKad penduduk di pedalaman ialah tercicir atau terjatuh ke dalam sungai ketika perahu karam dan sebagainya. 
 
“Jadi pihak kerajaan harus menimbang semula cadangan untuk menaikkan kadar hukuman terhadap individu yang kehilangan MyKad,” ujarnya.  

Justeru, beliau berharap masalah itu dapat dikaji semula memandangkan semua harga bahan keperluan asas sudah naik seperti petrol, gula dan tahun depan tarif elektrik juga naik.  

Katanya, secara tidak langsung dengan kenaikan harga barang keperluan dan menaikkan denda hanya akan menyusahkan serta membebankan kehidupan rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan mereka yang kurang berkemampuan.
 
“Kita tidak mahu kerajaan menghukum rakyat semata-mata untuk menjaga kepentingan pihak tertentu,” katanya lagi. 

Beliau menambah, pihak kerajaan perlu memikir cara terbaik untuk menjaga kebajikan rakyat bukan dengan cara menaikan harga barang keperluan dan menaikkan denda yang belum tentu boleh menyelesaikan masalah hutang negara. 

Katanya, kerajaan harus bertanggungjawab atas apa yang berlaku sekarang bukan dengan membebankan kehidupan rakyat yang telah memberi amanah untuk mereka terus memerintah negara ini.
 
“Kita menggesa pihak kerajaan mengkaji semula dan menyiasat apa punca sebenar berlaku kehilangan MyKad,” ujarnya.  

Katanya lagi, kos untuk bayaran kehilangan MyKad kali pertama sekarang sebanyak RM110 pun dikira cukup mahal dan seterusnya akan dikenakan sehingga mencapai kepada RM310. 

Menruutnya, bagi golongan yang berpendapatan rendah dan mereka yang kurang berkemampuan ianya sudah dikira mahal. 

“Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengkaji semula denda keatas kehilangan MyKad amat dihargai,” katanya lagi.


Harakahdaily

Tiada ulasan: