26 December 2013

Kerajaan Thai wujudkan majlis reformasi

22 Safar 1435H. [MOD] -

BANGKOK 25 Dis. - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini memperkenalkan pelan untuk mewujudkan satu majlis reformasi bebas sebagai cubaan meredakan kemarahan penunjuk perasaan antikerajaan yang mahukan beliau meletak jawatan.

Menerusi rancangannya itu, Yingluck mahukan sebuah majlis terdiri daripada 499 orang terkemuka Thailand yang dipilih menerusi satu kumpulan besar terdiri daripada 2,000 orang untuk memantau pembaharuan sistem politik negara ini.

Langkah itu dilihat hampir menyamai cadangan penganjur protes antikerajaan, Suthep Thaugsuban yang mahu mewujudkan 'majlis rakyat' bagi menggantikan kerajaan.

Namun, terdapat satu perbezaan ketara mengenai penubuhan majlis itu iaitu di bawah cadangan Yingluck, majlis reformasi tersebut akan beroperasi bersama dengan kerajaan yang dipilih, bukannya dengan kerajaan yang dilantik.

"Majlis ini bukannya satu agensi kerajaan. Ia akan beroperasi sendiri dan tidak akan dibayangi atau dipengaruhi oleh kerajaan.

"Saya tegaskan bahawa, kerajaan baharu yang dipilih akan melaksanakan apa yang diputuskan majlis itu untuk melakukan pembaharuan dalam sistem politik negara,'' kata Yingluck.

Pemimpin penunjuk perasaan, Tavorn Seniem sementara itu mengenepikan cadangan Yingluck dengan berkata, Perdana Menteri itu akan memilih 'orang-orangnya' bagi menyertai senarai 499 anggota majlis reformasi tersebut.

"Majlis ini akan memberi kelebihan kepada kerajaan dan bukannya rakyat Thailand,'' katanya.

Yingluck yang kini berada di wilayah utara Thailand bagi menemui penyokongnya dan merancang untuk meraikan sambutan tahun baharu di situ, enggan menangguhkan pelaksanaan pilihan raya yang dijangka diadakan Februari tahun depan. - REUTERS

No comments: