26 Disember 2013

Kesulitan Mendapat Tandatangan Pegawai Atasan Menyusahkan Pelanggan

22 Safar 1435H. [MOD] -

Perkhidmatan awam di jabatan agensi kerajaan masih tidak memuaskan dan cekap dalam mengendali masalah pelanggan terutama sekali dalam urusan yang melibatkan tandatangan segera pegawai atasan yang bertanggungjawab dalam urusan dengan orang ramai.


Sebagai contoh, apabila kita sebagai pelanggan datang ke kaunter di jabatan kerajaan pada waktu pejabat untuk mendapatkan tandatangan surat pengesahan, pegawai yang bertugas memberitahu kita yang pegawai atasan mereka tidak ada dalam pejabat kerana keluar kawasan atau pergi bercuti.

Banyak pihak mengadu tentang masalah yang berkaitan terutama pada musim cuti dimana ramai pegawai atasan yang bertugas di bahagian mengeluarkan pasport, dokumen perjalanan, pengeluaran visa, dan sebagainya memerlukan tandatangan pegawai bertugas tiada pengganti. Ini menyebabkan para pelanggan terpaksa menunggu hari berikutnya atau terpaksa balik semula untuk mendapatkan tandatangan pengesahan dari pegawai atasan yang bertugas.

Sebagai contoh kita dapati masalah ini berlaku di beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Imigresen Bahagian Miri dan juga di Pejabat Residen Bahagian Miri dimana apabila kita memerlukan tandatangan untuk memproses Borang Permohonan Lanjutan atau Surat akuan sumpah terpaksa menunggu lama sehingga pegawai yang mempunyai kuasa tandatangani surat tersebut balik dari bercuti atau mesyuarat di luar pejabat.

Sepatutnya masalah pegawai yang diberi kuasa menandatangani sesuatu surat perlu mencari penganti atau pemangku yang boleh diberi kuasa untuk menandatangani surat pengesahan tersebut dengan segera tanpa perlu menunggu proses yang terlalu lama sebelum mengambil cuti panjang.

Pihak jabatan kerajaan juga perlu memikirkan akan masalah yang dihadapi oleh pelanggan yang terpaksa mengambil cuti dan juga terpaksa berulang alik semata-mata menunggu atau mendapatkan surat pengesahan itu  tandatangani.

Ada yang datang dari jauh terpaksa datang semula semata-mata untuk mendapatkan tandatangan pegawai atasan yang bertugas. Ini sudah tentu menyusahkan pelanggan yang ingin urusan mereka diselesaikan pada hari tersebut. Masa terbuang begitu saja semata-mata untuk mendapatkan tandatangan dari pegawai atasan yang bertugas.

Kita mengesa pihak kerajaan dan mereka yang berkenaan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta dapat menyelesaikan masalah pelanggan dengan segera tanpa menyusahkan pelanggan terutama yang datang jauh dari daerah Miri. Mereka mahu urusan mereka selesai pada hari yang sama dan bukan perlu diselesaikan pada hari berikutnya.  Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera amat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri. Sarawak

Tiada ulasan: