16 Disember 2013

Lelaki ditahan kes sumpit warga emas

12 Safar 1435H. [MOD] -
Seorang lelaki Orang Asli ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menyumpit seorang lelaki warga emas sehingga maut, dalam satu kejadian di Kampung Bangkong, dekat Jerantut Jumaat lepas.

Suspek Orang Asli itu dikenali sebagai "Dolah" itu kini ditahan di ibu pejabat Polis Daerah Jerantut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail dalam kejadian itu mangsa Harun Mat Bakar, 79, mati akibat racun daripada damak (peluru sumpit) yang mengenai bahagian muka, leher dan bahu kirinya.

"Pada hari kejadian, mangsa yang pulang ke rumahnya di Felda Sungai Tekam Utara di sini pada jam 7.10 malam, memberitahu isteri dan anaknya yang dia telah disumpit," katanya kepada pemberita di Jerantut, hari ini.

Sebelum rebah, mangsa sempat memberitahu keluarganya yang dia telah disumpit oleh seorang lelaki bernama "Dolah".

"Mangsa kemudiannya rebah dan pengsan, anak mangsa membawanya ke Klinik Sungai Tekam Utara, sebelum dirujuk ke Hospital Jengka.

"Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital itu," katanya.

Azid berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kesan racun.

"Doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan kecil di bahagian muka, leher dan bahu kiri mangsa. Doktor mengesyaki mangsa mati akibat racun yang disumpit," katanya.

Beliau berkata suspek, 48, berjaya diberkas hari ini di rumahnya di Kampung Bangkong, dekat Jerantut.

Pihak polis turut merampas barangan kes seperti sumpit dan damak.  
"Suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, motif kejadian masih disiasat," katanya.


- Bernama

2 ulasan:

mawar merah berkata...

Assalamualaikum Tuan..mohon izin menggunakan gambar di atas untuk tujuan pendidikan...terima kasih

mawar merah berkata...

Assalamualaikum Tuan..mohon izin menggunakan gambar orang asli di atas untuk tujuan pendidikan...terima kasih