16 Disember 2013

Tol naik: Satu lagi janji BN ‘kenakan’ rakyat ditepati

12 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar tol yang dijangka bermula tahun hadapan merupakan satu lagi janji Barisan Nasional (BN) untuk mengenakan rakyat ditepati, kata Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Shari.


Beliau berkata perkara terbabit sudah dijangka dan sentiasa berlaku selepas Barisan Nasional memenangi pilihanraya umum, lapor Selangor Kini.


Katanya, sudah menjadi satu kemestian dalam pentadbiran kerajaan yang ditadbir BN untuk membuat rakyat terbeban dan menderita ekoran kegagalan mentadbir negara dengan baik.

Beliau menganggap tol yang sedia ada sudah cukup membebankan rakyat dan kini secara berterusan kerajaan menindas rakyat dengan kenaikan kadar tol yang baru.

“Seperti biasa ia satu lagi janji BN untuk mengenakan rakyat ditepati sedangkan tol yang sedia ada sudah cukup membebankan rakyat.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana secara berterusan kerajaan bawah pimpinan BN menindas rakyat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Yahya turut menggesa Kerajaan Pusat supaya mengkaji semula persetujuan untuk membenarkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol itu selepas semakan perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya dilakukan.

“Jangan hanya kerana satu perjanjian itu menyebabkan rakyat terus menderita dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kita juga menuntut kerajaan supaya menyemak semula perjanjian berat sebelah itu kerana ia semakin rakus dan tidak akan mempedulikan beban hidup rakyat yang semakin melonjak,” katanya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: