16 Disember 2013

Ustaz Idris dilantik Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak

12 Safar 1435H. [MOD] -
IPOH: Jawatan Badan Perhubungan PAS Perak sesi 2013-2015 telah berjaya dibentuk dengan gandingan pimpinan baru yang lama.


Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad telah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2 bersama Datuk Seri Nizar Jamaluddin dikekalkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1.


Timbalan Pesuruhjaya 3 pula diisi oleh 'orang lama' iaitu Noh Ahmad yang juga Yang Dipertua PAS Lumut ketika ini.

Setiausaha pula kekal kepada Dr Muhaimin Sulam untuk sesi kedua manakala Ustaz Misbahul Munir Masduki kini diamanahkan sebagai Ketua Penerangan.

PAS Perak telah membawa muka baru untuk beberapa jawatan iaitu Ustaz Ismi Mat Taib sebagai Bendahari, dan Khairul Anuar Ismail sebagai Pengarah Pilihanraya.

Ismad Shahril, Mazidah Ghazi dan Badrin Khalid masing-masing mengisi jawatan Penolong Setiausaha.

Mantan Pesuruhjaya, Ustaz Abu Bakar Hussien dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa bersama Rahim Nordin, Junaidin Yusof dan Mohamad Rizal Ayub.

Tiga lagi kekosongan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa akan diisi pada mesyuarat kelak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, jawatankuasa ini dibentuk dengan mengambil kira pandangan ahli perhubungan serta kemampuan masing-masing.

Beliau melahirkan keyakinan pasukan yang dibentuk itu dapat memacu PAS Perak ke tahap yang lebih baik.

"Saya yakin kemampuan semua, saya harap semua dapat menjalankan amanah sebaik mungkin.

"PAS Perak menetapkan empat fokus keberhasilan utama iaitu menang PRU14, mengukuhkan kewangan, memperkasakan pentadbiran dan merapatkan ukhwah dikalangan ahli parti," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mesyuarat pertama itu berlangsung pagi tadi di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak.


Harakahdaily

Tiada ulasan: