22 Disember 2013

Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi semua daerah

18 Safar 1435H. [MOD] -
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor berusaha untuk mewujudkan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi di semua daerah untuk melahirkan rakyat berbudi luhur dan mempunyai asas kefahaman Al-Quran yang mantap.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negri, Sallehen Mukhyi, berkata usaha itu akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 agar permintaan terhadap pendidikan agama dapat dipenuhi.

 “Kita akan sentiasa meneliti tahap keupuasan hati dan kecemerlangan agar segala pencapaian yang ditetapkan terhadap kualiti pelajar dapat dicapai,” katanya dipetik Selangor Kini.

Katanya permintaan terhadap pendidikan agama khususnya Maahad Tahfiz semakin tinggi ekoran kesedaran semakin tinggi kepada kepentingan pendidikan agama.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Graduasi Qurra Pelajar MITST Negeri Selangor 2013 di Dewan Jubli Perak,di Shah Alam.

Sallehen berkata, para pelajar perlu berusaha mengekalkan hafalan Al-Quran sebaik mungkin serta menerapkan dalam kehidupan.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali.

Seramai 172 pelajar yang menghafal 30 juz Al-Quran menerima Sijil yang disampaikan Sallehen dari Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Jugra dan Maahad Tahfiz Sains Dan Teknologi Klang.

Tiada ulasan: