22 Disember 2013

Kalau tak ada tol, kena naikkan cukai - Najib

18 Safar 1435H. [MOD]
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti kadar baharu tol lebuh raya supaya tidak memberi keuntungan yang tidak munasabah kepada syarikat konsesi lebuh raya sehingga membebankan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan juga sedang mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat termasuk memberi pas bermusim dengan diskaun kepada pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya.

"Kita tak naklah pemegang konsesi dapat pulangan yang terlalu tinggi, ini kerajaan sedang teliti, jangan kenaikan ini beri keuntungan yang tak munasabah kepada pengusaha tol.

"...dan kita sedang mencari jalan bagaimana kalau ada cara lain mungkin bagi pengguna yang kerap, kita boleh bagi pas bermusim dengan diskuan kepada mereka. Ini langkah-langkah (yang) kita sedang fikirkan," katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-60 MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau berkata kutipan tol di lebuh raya adalah perlu dan tidak dapat dielakkan kerana syarikat konsesi perlu membayar balik pinjaman yang digunakan untuk membiayai pembinaan lebuh raya yang ada.

"Bila sektor swasta buat lebuh raya, sektor swasta kena pinjam duit. Anda adalah peniaga...bolehkah anda keluarkan sendiri dana RM5 juta? Anda perlu meminjam, anda perlu ke pasaran bon, bila pergi ke pasaran bon, anda perlu membayar.

"(Duit) dari mana? daripada tol...kalau tak ada tol, kena naikkan cukai...itu pun tak kena juga....tol itu (kena) pada orang yang pakai jalan (sahaja)," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: