22 Disember 2013

Polis cari 12 kotak cip mikro hilang di FIZ Bayan Lepas

18 Safar 1435H. [MOD] -

Sebuah lori dengan muatan 22 kotak cip mikro dilapor hilang di luar sebuah kilang elektronik di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata kehilangan lori itu disedari pemandunya pada jam 9.00 malam sejurus dia keluar dari kilang berkenaan untuk mengambil dokumen.

"Lori itu baru tiba dari Ipoh dan diparkir sebentar di luar kilang kerana pemandunya mahu mengambil dokumen. Tetapi selepas dia keluar, kenderaan itu hilang," katanya.
Polis kemudiannya berjaya mengesan lori yang dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) itu pada jam 11.30 malam tidak jauh dari lokasi kejadian serta menahan seorang lelaki berusia 40-an.
Bagaimanapun, katanya, hanya 10 kotak cip mikro yang ditemui manakala 12 kotak lagi yang kandungannya dianggar bernilai RM800,000 lesap.
Katanya, polis sedang mengesan suspek utama rompakan itu dan sebahagian besar cip yang dipercayai dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama

Tiada ulasan: