KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Parlimen ke-13 yang bersidang sejak 21 Oktober lepas ditangguhkan pada Khamis ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Sepanjang persidangan selama 27 hari itu, lima rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-undang Perbekalan 2014 untuk perbelanjaan pembangunan yang dibahas sejak 14 November lepas.
Empat rang undang-undang lain adalah Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013, Rang Undang-undang Kewangan (No.2) 2013, Rang Undang-undang Fi (Jabatan Muzium Malaysia)(Pengesahan) 2013), dan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2013.
Persidangan yang bermula pada 24 September lepas telah diikuti dengan pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada 25 Oktober.
Pada sesi akhir hari ini, Dewan Rakyat turut meluluskan dengan lebih suara yang bersetuju untuk kerajaan membuat pelaburan dalam syarikat AES Solution Sdn Bhd dengan modal berbayar RM10 juta dengan nilai RM1 bagi seunit saham.
Dengan pelaburan ini, kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengambil alih sepenuhnya operasi sistem itu yang sebelum ini dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.
Selain itu, Dewan Rakyat juga meluluskan tiga lagi usul Menteri Kewangan iaitu ketetapan supaya kerajaan memindahkan sebanyak RM28,905 juta wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan (PTK) yang diterima di bawah Seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 ke Kumpulan Wang Pembangunan.
Usul untuk menetapkan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2013 yang dibentangkan di Dewan Rakyat sebagai kertas statut bil. ST.61 tahun 2013 dan Perintah Duti Kastam (Barang-barang di bawah Perjanjian Perdagangan Keutamaan di kalangan negara-negara anggota D-8) 2013 dan Perintah Kastam (Duti Anti Lambakan)(No.3) 2013 sebagai kertas statut bil.ST. 100 dan ST.135 tahun 2013 turut diluluskan.
Keempat-empat usul ini dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan